RSS

Saturday, 24 March 2012

Salahkah jika ummi rindu?

aku membaca, aku tutup sebentar lagu yang sedang berkumandang dan aku buka video ini..indah lagu ini..dengarlah..



salahkah ummi punya perasaan begini?
dikau memanggil-manggil 'Ummi'?
Ummi rindu panggilan dari suaramu penyejuk hati
Belum habis terluah apa yang ummi rasai ini,
air mata ummi turun berlari mendahului
Ummi rindu ingin dipanggilmu wahai sayang Ummi
Ummi ingin dirayu-rayu manja suaramu
memanggil ummi lembut
mengharapkan perhatian dari ummi

susu untukmu
mengalir laju
selaju air mata cinta ummi padamu
tetapi  telah habis air susu itu
ya, habis di dunia
moga dikau menikmatinya di Syurga
yang jauh lebih lazat dan lebih berkhasiat
semestinya untukmu
Tuhan 'menyimpan'nya untukmu
namun, air mata cinta ummi ini tak pernah berhenti
kerana dikau begitu istimewa bagi ummi
walau jasadmu ummi tak sempat lihat
tetapi kita pernah 'bermain' bersama-sama, kan?

gerakanmu di rahim ummi amat membahagiakan
aktifmu membuatkan ummi lupa akan segala lelah,
segala loya dan pening ummi
ummi rindu kakimu menendang
ummi rindu waktu subuh
kakimu bergerak riang kejutkan ummi bangun
ummi dapat merasai geliat tangan kakimu
di pagi hari
menyebabkan ummi takut untuk bangkit dari tidur
kerana terasa 'tersekat' dengan tanganmu
sekarang, ummi jadi rindu
kerana naluri Ummi sangat kuat
Suatu perkara yang tak boleh dijual beli

ummi tidak mengeluh kehadiranmu terlalu awal atau lambat
walaupun ummi belum habiskan pengajian ummi
kerana hadirmu adalah anugerah dari Allah yang Maha Memberi
kepada sesiapa yang dia kehendaki
Sebab ummi tahu, tidak semua hamba diberi nikmat ini
ummi pekakkan telinga
tatkala ada yang cuba membuat pertikaian
tentang kehadiranmu
yang pada pandangan mereka
menyusahkan ummi atau mungkin menyusahkan mereka
ummi tidak sedikit pun menyesali keputusan Ummi
sebab cita-cita ummi bukan bergantung pada waktu dan tempoh
tetapi ummi mencari hidup yang tabi'i
dengan izin Allah juga ummi gagah menempuhi

Ummi cuma rindu
Itu sebab ummi tulis
air mata ummi turun menemani
tanpa ummi minta pun ia tetap juga mengalir laju
sebab tergoda dengan panggilan dan teriakan hati ummi
yang merinduimu.


Ummi bersyukur,
Dikau lahir secara tabi'i walaupun ummi tidak sedar
tanpa pertolongan Tuhan
Ummi mungkin tak mampu teran
walau hakikatnya bukan diri ummi yang lakukannya
semua itu pertolongan Tuhan
kerana Ummi sudah di 'ambang'

Ummi rindu ingin menyentuh lembut tubuhmu
Tetapi Allah Maha Tahu
yang Ummi tak mampu
daripada teringat susuk tubuhmu,
lebih baik Ummi terus merindu dengan cara begini

Ummi bersyukur
Abi ada di sisi sewaktu kelahiranmu
Abi yang menyempurnakanmu
saat lahirmu dan saat pergimu
Tangan Abi yang melakukan semua itu

Ummi bangga dengan kejadian kelahiranmu ini
kerana ini suatu bukti
hanya Allah yang berkuasa ke atas setiap diri
Ummi fikir, Ummi juga ikut 'pergi'
Melihat darah Ummi keluar tak henti-henti
Namun, Allah merancang begitu teliti
Sebab ummi juga sedar akan prestasi Ummi di dunia
belum cukup untuk hidu bau syurga

Khaulah Sofiyyah
anak Ummi dan Abi

Ummi bangga dikau bersemadi
di tanah yang menjadi saksi perjuangan abi
dan Ummi suatu hari nanti
insyaAllah

Dikau anak,
inspirasi buat ummi dan abi untuk teruskan hidup
melalui hari-hari
biar teriring redha dan rahmat dari Tuhan
agar kita bertemu di Syurga impian
biarpun ummi dan abi sedar
tersangat mencabar jalan untuk menujunya
semoga kami berjaya.
ameen.

Ummi dan Abi takkan berhenti merinduimu sayang..
Dengan rahmat-Nya jua, kita kan berjumpa, Ameen..

No comments:

Post a Comment