RSS

Monday 28 May 2012

Berbaloikah Jika Cuma Itu


Entri ini sebenarnya sudah lama tersimpan. Buka laptop, tiba-tiba kedatangan idea untuk menghabiskannya. 

Ramai yang ingin ada anak. Dan alhamdulillah, Allah mengurniakan hamba-hambaNya ini zuriat keturunan. Namun, ramai juga manusia yang LUPA perihal mendidik anak yang semakin hari semakin membesar.

Saya sedar sebenarnya tak layak untuk berbicara hal ini kerana saya belum diizinkan Allah untuk melalui fasa perjuangan mendidik generasi zuriat sendiri, hanya merasai fasa " persediaan " sahaja dan tanpa saya minta dan tanpa kami duga, Allah meletakkan anak pertama kami di tempat yang kami entah mampu atau tidak mendidik arwah (jika Allah mengizinkannya menikmati dunia) sehingga membawanya ke “sana” dengan selamat. Ya, tempat yang dijanjikan. Ameen. Semoga tenangmu diwarisi pula ummi dan abi. Orang kata, “belum setahun jagung”… Namun, inilah pengamatan saya ketika ini. Boleh juga dikatakan sebagai pengamatan muda oleh saya.

Saya memang seorang yang suka mengamati sosial dan persekitaran.  Sebab itu (mungkin) saya seorang yang sensitif. Dan yang penting saya cuba belajar sesuatu daripada pengamatan saya. Jadi, saya tidak harus ada sikap terlalu yakin, bias, memulakan pengamatan dengan sangkaan yang tidak sepatutnya dan saya harus sentiasa dalam keadaan neutral. Bukan talam dua muka, tetapi menerima dalam keadaan membuat penilaian yang lebih dalam. Anda mengerti?

Berbalik kepada topik utama. Semua orang tahu anak itu satu anugerah. Ada orang yang merasakan hidupnya sudah sempurna dengan memiliki anak-anak dan mampu memenuhi keperluan asas mereka. Cukup dan suatu pencapaian tertinggi dalam kehidupan. Sangat berpuas hati. Ada isteri/suami, ada anak…sempurna sudah! Dengan kata lain, cukup syarat berkeluarga.

Dan hari ini, teori-teori pengamatan majoritinya benar. Saya tak mengatakan keseluruhan sebab rencana Allah mengatasi pengamatan lemah manusia. Yang minoriti itu pastinya sebagai suatu bentuk tarbiyah Allah kepada kita bahawa Allah lah yang lebih berhak ke atas setiap makhluk-Nya. Supaya kita akhirnya kembali kepada Sang Pencipta segala sesuatu. Ya, lantaran akal kita yang terbatas.

Siapa yang  tak sayang anak? Sudah tentu lingkungan topik ini, persoalannya dituju kepada mereka yang tidak bertindak di luar tabi’i. Tidak semestinya pula bertegas dengan anak itu, dengan memukul anak tanda kita telah menunjuk ajar. Benarkah tindakan kita, padankah hukuman dengan kesalahan, adakah benar  tunjuk ajar kita itu? Mengikut panduan Allah kah? Atau sayangkan anak tanpa dirotan sedikitpun jikalau usia sepuluh tahun masih malas menunaikan solat? Adakah kerana mengikut panduan pula, tidak diberi amaran dulu sebelum bertindak merotan  di atas kesalahan kali keduanya?

Cakap senang. Menulis pun senang.  Sayang anak bukanlah diukur dengan betapa banyak wang dihabiskan untuk membeli makanan, pakaian, dan pelbagai macam keperluan yang ASAS bagi mereka. Sebab, jika diperhatikan, semua orang MAMPU melaksanakannya walaupun kita bukan kalangan yang bekerja ‘makan gaji’. Kerana kita ada kudrat untuk mencari nafkah. Asal cukup makan, pakai, boleh tidur dan sekolah, itu mencukupi. Dan kerana fitrah manusia yang tak sanggup biarkan anak tak cukup makan, sakit dan sebagainya.

Namun, nak jadikan anak itu sebagai seseorang yang benar-benar kita kasihi bukan semudah ucapan sayang dan menyediakan kepeluan asas. Bukan lafaz "sayang" di bibir yang diiringi misi dan visi yang kosong, segalanya perlu diperhalusi kerana kelak Allah akan bertanya kita, pihak yang diamanahkan ini.  Nikmat bukan sahaja tatkala kita melahirkan zuriat dari benih sendiri yang halal lagi berkat (insyaAllah, Syukur yang amat..) Namun, terkadang terlupa pula menterjemahkan rasa SYUKUR itu. Dapat anak, syukur…dan berazam nak didik anak-anak betul-betul dan sungguh-sungguh..barulah beterusan rasa syukur kita dan selain itu, kita tak akan mudah rasa lelah dan putus asa dalam perjuangan mendidik generasi yang bakal menyambung perjuangan Rasulullah SAW ini. Begitu bersusah payah kita melahirkannya, hanya keperluan asas itu yang kita sediakan untuk anak-anak?  Berbaloi kah kesakitan yang kita rasa jika usaha mendidik mereka hanya setakat itu?

Maaf..mungkin seperti saya sangat enak menulis. Ya, cakap senang, menulis juga senang. Tatkala ini, saya menulis sambil saya cuba meninjau keadaan pada masa akan datang dan bermuhasabah sebelum saya MULA dan sebelum saya TERLAMBAT (Ya, dengan izin Allah). Anda faham? Sebelum saya ke garisan perMULAan mendidik mereka dan juga sebelum saya TERLAMBAT menyedari hakikat ini. Yang perlu difikirkan oleh setiap orang yang bergelar suami dan isteri.

Misi dan Visi bapa kepada Imam Asy-Syafi’ie dalam mendidik beliau sehingga menjadi seorang Asy-Syafi’ie yang kita kenali sebagai orang yang hebat pada hari ini adalah bemula ketika bapanya memilih seorang ibu untuk beliau lagi. Seawal itu. Dan dari pihak ibunya pula dengan kata lain, mendidik anaknya bermula sejak beliau masih lagi seorang dara. Seawal itu. Anda mengerti?

Maknanya, pemilihan pasangan. Manusia tak sempurna, memang. Tetapi, jika kita berusaha meningkatkan diri kita menuju iman, taqwa dan redha-Nya, adakah pemilihan pasangan kita nanti dipilih dari kalangan yang tidak mempunyai cita-cita yang sama dengan kita? Kerana itu, perlu jauhnya kita berfikir bahawa, kita bakal melahirkan generasi yang pada tangan kitalah bagaimana kehidupan mereka dicorakkan. Jodoh itu ketentuan Allah. Ya, ada di kalangan masyarakat kita, seorang yang soleh menikahi wanita yang biasa-biasa, kurang penghayatan tentang agama…rahsia Allah yang mahu memberikan hidayah itu kepada wanita itu sampai menjadi wanita yang solehah siapa yang tahu? Kenapa pula ayat-ayat perangsang Allah tentang “Wanita yang baik untuk lelaki yang baik” diturunkan jikalau tidak lain tidak bukan untuk menyeru manusia lelaki dan perempuan untuk berusaha menjadi orang yang soleh/solehah. Hal takdir jodoh dengan siapa, rencana Allah Yang Maha Kuasa. Kita perlu berdoa dan berusaha k e r a s. Dan semoga Allah mentakdirkan sesuatu yang terbaik di atas usaha yang sungguh-sungguh dari kita.

Itulah yang Nabi Muhammad  SAW ajarkan kepada umat manusia supaya bertindak ‘memilih’ dahulu seseorang yang akan dijadikan isteri atau suami. Kerana, mendidik anak-anak ini diibaratkan seperti menanam tanaman yang memerlukan tanah yang subur yang tidak dipenuhi dengan lalang-lalang yang akan membantutkan pertumbuhan biji benih yang kita semai itu selain daripada baja dan keperluan asas lain yang mencukupi. 

Menyambut kelahiran si anak ini sungguh teruja dan satu perkara yang paling menggembirakan dan yang paling dinanti-nantikan buat pasangan suami isteri. Segala bekalan untuk menyambutnya disediakan dengan gembiranya. Alangkah lebih beruntung dan berbaloi sekiranya segala kesakitan, susah payah yang dirasa daripada saat kelahiran sehingga dia berjaya membesar menjadi seseorang yang  jiwanya adalah jiwa Pemuda-pemuda Kahfi, jiwa Pejuang-pejuang Badar, jiwa Penakluk Muda Al-Fateh, jiwa sang pencinta ilmu, jiwa-jiwa mujaddid, jiwa-jiwa murobbi, jiwa-jiwa pemberani dalam menegakkan yang haq . . . .

Seorang ibu yang besar cita-citanya, yang berani bermimpi besar bak kata Laskar Pelangi tidak cukup dengan hanya mengerti teori-teorinya..Harus ada pergerakkannya. Dan pemula kepada semua itu adalah daripada bakal ayah dan bakal ibu. Bermimpi besar biar juga berani bekerja keras dan berusaha besar dan luar biasa supaya hasilnya juga besar luar biasa!

#Masih belum terlambat untuk saya berusaha untuk menjadi pencetus dan pemula kepada lahirnnya jiwa-jiwa besar ini#













Wednesday 23 May 2012

She's A Microbiologist Now & What About Me??



Aku sempat menjenguk laman mukabuku kepunyaan seorang sahabat yang banyak berjasa kepadaku, yang mengenalkanku erti tarbiyah. Seorang ahli mikrobiologi. A microbiologist. A microbologist!!! ;-(

Dia sebilik denganku sewaktu belajar di sebuah institusi pengajian tinggi. Aku cemburu melihat kesungguhan dia menuntut ilmu. Kini, aku merenung kembali apa yang pernah aku lihat, rasa dan fikirkan tentang kisah kehidupan yang telah berlaku. Melihat kesungguhannya melayakkan dirinya untuk berada pada tahap sekarang ini. A microbiologist.

Sewaktu aku di tingkatan empat, aku bermimpi aku adalah seorang ahli bioteknologi. Aku juga pernah bermimpi ingin menyelamatkan alam dengan teknologi yang berasaskan tumbuhan, ingin mencari sesuatu yang boleh meningkatkan hasil tanaman di negara ini dengan penemuan-penemuan terbaru dan kajian dan aku begitu 'gila'kan makhluk yang bernama 'asid deoksiribonukleik', DNA. Itulah simbol kehidupan.

Aku masih ingat sewaktu aku berada di tingkatan lima. Aku sangat suka akan mata pelajaran Kimia. Sangat seronok bermain dengan unsur-unsur yang ada di alam ini! Pada suatu hari, hari yang lebih membuatkan aku bersemangat untuk terus belajar dalam bidang sains ini. "Siapa tahu nama penuh DCPIP?" Aku tersentak di tempat dudukku. Tak sangka cikgu Zubaidah bertanya nama larutan itu. Semua kelas terdiam..aku begitu geram ingin menjawab..aku sudah hafal nama penuh ini semalam. Tiba-tiba mengangkat tangan dan menjawab... "dichlorophenolindophenol cikgu..." Lalu, cikgu memujiku dan kata-katanya yang aku pegang ..sampai sekarang walaupun.. cikgu kata "wah, boleh jadi ahli biokimia ni!" Mungkin pada kawan-kawan yang lain hal itu tidak ada apa-apa namun untukku, itu satu doa dan pendorong untuk aku teruskan usahaku untuk bergelar seorang saintis. 

Memang terasa bagaikan tidak sempat untukku menelaah sebegitu banyak perkara .. walaupun hanya mengambil 9 mata pelajaran. Aku bukan seorang yang bijak pandai. Aku bukanlah seorang pelajar yang berada di kelas elit. Aku pelajar yang biasa-biasa sahaja otaknya. Kegilaanku pada masa itu ialah pada mata pelajaran kimia, kimia dan kimia. 

Keputusan SPMku tidak lah cantik dengan huruf A nya berderet sampai ke bawah. Tetapi cukup untuk aku menempah 'tiket' untuk menyambung pengajianku dalam bidang yang aku suka. Di ipt tersebut, aku mengenali dia yang memperoleh mata pelajaran biologi, kimia dan fiziknya. Keputusan peperiksaan kami pun lebih kurang juga. Tapi, mata pelajaran yang diambil lebih banyak daripadaku. Aduhai.

Al kisahnya apabila aku mula menjejakkan kaki di situ. Aku mula dilanda satu 'belenggu'. Aku jadi susah belajar tidak seperti aku belajar pada zaman SPMku. Segalanya ku rasa payah dan tidak serius dengan apa yang mendepaniku. Aku seolah-olah telah kehilangan diriku yang dulu. Jeritan batinku, "I can't study there!!" , "I can't focus on what I've learnt!" Dan di situ, aku sangat suka hadiri kuliah biologi. Namun setakat seronok di dalam kuliah. Banyak mengkagumi kejadian setiap makhluk tanpa mengenali terperinci tentangnya. My 'management' about myself was FAIL!

Dia terus dengan usaha gigihnya. Aku seolah-olah kehabisan tenaga untuk menelaah. Dia kenal perangaiku dan mungkin ada terbit di hatinya kebimbangan terhadapku. Dia agak sibuk dengan urusan luar juga namun tetap berprestasi. Aku ini yang tidak ada apa-apa tanggungjawab yang lain tidak mampu bersaing dengannya. Aku beraksi seperti bukan diriku yang dulu. Hanya tekanan yang melanda. Dalam keadaan letih dan mengantuk, dia masih bertahan dan terus melekat di meja belajarnya. Aku seolah-olah hanya melihat sahaja kesungguhan tanpa sedikitpun terdetik untuk contohi kesungguhannya. 

Jujurnya, semalam aku sungguh emosi. Huhu...sudah lama aku tidak merasa emosi seperti hari ini. Perkara yang ditakuti pada beberapa minggu yang lalu tidaklah sampai membuat aku emosi dengan begitu dalam sekali. Mungkin kerana aku telah membuka kembali 'luka lama'. Bukanlah untuk disesalkan. Kesalahan tetap kesalahan yang pernah aku buat sewaktu belajar di situ. Dan daripada tersilap langkahku, aku sudah menerima natijahnya. Jiwa aku jiwa BIO. Tempat impianku adalah di makmal dan mikroskop itu menjadi temanku. Kot makmal putih itu 'uniformku'. Tapi hanya semangat tidak mampu untuk menghasilkan kejayaan dan tidak menjamin terealisasinya sebuah impian.

Aku tumpang bangga melihatnya sekarang. Dia juga bukanlah dari keluarga yang kaya sama seperti aku. Tetapi sekarang dia sudah bergelar ahli mikrobiologi yang bekerja di kilang ubat tanah air. Padanya aku nampak bahawa ibu ayahnya sedang berbangga dengannya. Sekarang, dia pula yang menanggung ibu ayah serta adik-adiknya. Maafkan kak long mak, ayah dan adik-adik.. atas kelalaian kak long..

'Luka lama' yang terbertas jahitannya ini bukanlah untuk menimbulkan kekesalan untukku. Tetapi kehidupanku, kronologinya adalah bukan seperti dia dan juga sahabat-sahabatku yang berjaya menjadi entah apa lagi..dalam bidang ini. 

Ku akan kenang balik kesungguhanmu. Kesungguhanmu sangat ku kagum. Kesungguhan seorang yang ingin menuntut ilmu. Engkau kekal dengan penampilan muslimahmu..SMKA Pedas malah lebih berjaya sekarang. Aku pula yang bertukar aliran daripada Sains Hayat kepada Bahasa Arab..dan aku bahagia dengan penemuan yang sekarang! ;-)





Tuesday 15 May 2012

فقه اللغة

Fiqh lughah adalah sebuah mata pelajaran yang skop kajiannya adalah apa-apa yang ada disebalik bahasa. Mungkin agak pelik bunyinya akan tetapi inilah ketelitian dan kesungguhan yang tunjukkan oleh para ilmuan islam suatu ketika dulu.

Bahasa Arab merupakan sebuah bahasa dari keluarga besar Bahasa Samiah. Sam adalah anak kepada Nabi Nuh AS. Ia berkembang seiring dengan perubahan zaman. Ketika zaman kerasulan terakhir mula mendekat, masyarakat Arab adalah masyarakat yang bahasa merupakan harta kebanggaan mereka. Tidak ada yang tidak disibukkan dengan bahasa. Setiap individu dan kelompok bersungguh-sungguh meningkatkan kemampuan bahasa masing-masing demi meraih hormat, penghormatan dan tempat di dalam masyarakat. Harta-benda, waktu dan peluang diperuntukkan dengan sewenang-wenangnya demi mempertajam pedang kefasihan.

Dalam keadaan persaingan berbahasa yang sangat sengit, hadirlah sang Rasul utusan yang kepakaran bahasanya melebihi semua yang ada – dan mendapatkan pendidikan khusus dari tangan yang Maha Pencipta-. Kemudian Allah SWT turunkan pula Al-Quran yang mengancam credibility kesemua manusia yang ada dalam bidang ketajaman, keindahan dan kebenaran Al-Quran. Suatu yang mencengangkan dan menjadikan mereka lumpuh tidak dapat menandingi Kalam Allah. Semua mengakui kemukjizatan Al-Quran samaada menyatakannya dengan lidah atau memendam sambil mendustakan.

Kehadiran Al-Quran yang menguja membuatkan mereka mahu tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai silabus baru dalam pendidikan bahasa. Mereka yang hidup di saat ini dari para sahabat disibukkan untuk mengkaji dan menghayati lalu menikmati keindahan Al-Quran.

Islam kemudian disebarkan ke seluruh penjuru alam. Bangsa Arab mula bercampur dengan mereka yang Ajam. Bahasa Arab pula menjadi bahasa antarabangsa yang tentunya ditambah garam dan gula. Kesan dan perubahan menuntut ilmuan ketika itu meletakkan cabang-cabang ilmu yang menjadi panduan agar ketulenan bahasa terjaga dan sentiasa dapat dipelajari dan dirujuk. Maka lahirlah ilmu-ilmu bahasa yang kaedahnya bersumber dari Al-Quran dan apa benar yang syai’ (tersebar) dikalangan masyarakat seperti Nahu, Soraf, Ma’ani, Badi’, Bayan, Dilalah, Tafsir, Ma’ajim dan sebagainya.

Bahasa Arab ketika itu sudah pun mencapai satu tahap yang boleh dianggap masak atau matang dari segi penentuan skop kajian dan cabang ilmu. Namun, para ilmuan ketika itu belum berpuas hati. Masih ada perkara yang lebih mendasar dan bersifat fundamental yang perlu dijadikan bahan kajian. Tampillah tokoh filsafat bahasa Abul Fath Uthman yang lebih dikenali sebagai Ibnu Jinni dengan kajian yang dikemas dalam sebuah buku berjudul Al-Khashaish, Ibnu Faris dengan bukunya Ashhabiy dan Suyuti dengan bukunya Mazhar. Mereka inilah yang mula membuka ruang kajian akan perkara-perkara penting disebalik bahasa itu sendiri. Ibnu Faris di dalam muqaddimah bukunya “Ashohibiy” menyatakan bahawa Ilmu bahasa Arab terbahagi kepada dua jenis. Pertama  : furu’ (cabang) iaitu yang mengkaji akan nama, sifat dan kata kerja seperti kita berkata, pemuda, kuda, panjang, pendek. Semua ini merupkan bahan yang dipelajari pada permulaan. Kedua : Aslu (asal) iaitu perbahasan akan bahan-bahan bahasa, permulaan bahasa, kemunculan bahasa dan seterusnya..

Maka cabang ilmu bahasa ini membahas kajian tentang beberapa isu pokok :

1. Falsafah Bahasa, meliputi kajian tentang asal bahasa manusia pertama dan kemunculannya, pencabangan bahasa dan pencabangan bahasa kepada lahjat.
2. Undang-undang bahasa, undang-undang bahasa umum bahasa seperti qias, ithtiradh, syuzuz dan seterusnya.
3. Matan bahasa, kajian yang berkesinambungan pada kajian kosakata bahasa dari pelbagai sudut seperti isytiqaq, kefasihan, mu’rab, ibdal, qalb dan seterusnya.
4. Lain-lain, pembahasan sekitar bahasa dan anasir-anasirnya, zowahirnya (ciri-cirinya), dari kedua sudut bunyi dan kosakata, semua yang berkait dan membantu pengkajian teori-teori bahasa.

Ramai para pengkaji ilmu ini hanyut di dalam kajian akan asalmuasal bahasa manusia. Namun pengkajian permasalahan bahasa terawal manusia tidak mendapatkan hasil yang memuaskan. Mungkin secara ringkasnya, penyebab gagalnya kajian mengenai asalmuasal bahasa manusia adalah kerana ketidakmampuan manusia memikirkan akan perihal tersebut. Ilmuan terdahulu yang cuba membahas permasalahan ini terbahagi kepada beberapa golongan. Golonan pertama mengatakan bahawa bahasa manusia merupakan suatu yang tauqifi. Iaitu telah ditetapkan oleh Allah SWT.  Golongan ini menyandarkan pendapat mereka kepada beberapa nas dari Al-Quran dan Talmud. Namun, pendapat golongan ini tidak sepenuhnya dapat diterima kerana mereka gagal menjelaskan akan istilah-istilah yang semakin berkembang dari masa ke masa. Ia menutup ruang bagi manusia meletakkan istilah, nama dan bahasa bagi suatu yang baru.

Golongan kedua pula berpendapat bahawa bahasa merupakan ishtilahiy iaitu merupakan penamaan dari manusia. Manusialah yang meletakkan bagi setiap sesuatu istilah dan nama. Persoalan yang timbul bagi pendapat ini adalah, bagaimanakah caranya manusia melakukan tugas menamakan sesuatu yang begitu banyak itu. Adakah manusia berkumpul dan membuat kesepakatan bahawa benda yang bentuknya seperti fulan warna seperti fulan bernama fulan. Bukankah bumi ini mengandung jutaan benda lalu bagaimana manusia mengingatinya dan mengurusinya.

Masih banyak lagi golongan yang memiliki pendapat mereka masing-masing. Ada yang berpendapat ia berasal dari bunyi sesuatu itu. Dari bunyi itu ia berkembang menjadi istilah. Ada pula yang berpendapat bahawa ia merupakan dorongan perasaan manusia terhadap sesuatu lalu menamakan sesuatu itu sesuai dengan perasaan.
Setelah usaha yang diluahkan dalam kajian-kajian ini namun kita gagal mencapai kesimpulan yang memuaskan. Kegagalan ini disebabkan beberapa faktor antaranya adalah kesalahan metode dalam mengkaji asalmuasal bahasa itu sendiri. Para pengkaji seringkali meletakkan garis panduan kajian sepertimana mereka mengkaji suatu bidang atau cabang pemikiran. Atau mungkin juga mereka mengkaji seperti mana mereka mengkaji suatu barang atau benda. Bahkan dapat kita katakan bahawa ia merupakan sebuah kesalahan untuk mengkaji bahasa sebagai sebuah kajian ilmiah. Bahasa bukanlah sebuah benda yang dapat diletakkan di dalam makmal dan dikaji atau dijalankan ujikaji ke atasnya.

Bahasa merupakan manusia ketika ia menjalankan tugasnya. Lalu kesemua yang menyerap ke dalam manusia dari warisan bahasa tidak dapat kita letak di dalam tabung ujikaji kerana sesungguhnya manusia merupakan suara, fikiran, struktur ayat, lingkungan bahasa dan kemanusiaan itu sendiri.

Keterbatasan ini membuatkan usaha kita mengkaji akan asalmuasal bahasa itu menjadi sia-sia dan adalah lebih baik jika kajian ini dialihkan kepada kajian akan ilmu-ilmu mengenai bahasa itu sendiri.

Perkara lain yang menyebabkan kegagalan dalam mengkaji asalmuasal bahasa adalah kerana kajian yang telah dijalankan lebih condong untuk mengkaji asal dari suatu kata yang diwakili oleh sejumlah kata. Kajian mereka bukan pada gambaran asal bahasa. Maka kita mendapati mereka tertanya-tanya, adakah asal kepada bahasa adalah ketetapan dari Allah atau asal bahasa merupakan menamaan dari manusia atau mungkin qudrat yang memang telah dimiliki manusia atau ia ternyata adalah hukum semulajadi alam.

Jelas kekeliruan mereka ketika gagal membezakan antara perbincangan akan asal suatu bahasa (kelompok kata-kata) dan perbincangan akan bahasa itu sendiri.

Para pengkaji akan asalmuasal bahasa juga keliru ketika memfokuskan kajian mereka hanya kepada nama dan benda yang dinamai, istilah dan apa yang diistilahi, dalil dan apa yang didalili. Kita perlu menyedari bahawa bahasa bukan sekadar nama, istilah dan dalil. Bahasa mempunyai ruang lingkup yang lebih luas. Ia mengandung pelbagai aturan dan tahapan. Bermula dari idea, suara, tatabahasa, aturan huruf dalam kata, pembentukan ayat, pemilihan kata dan maksud, kesesuaian keadaan dan lain-lain lagi. Maka kajian mereka itu tidak lain dari mengkaji salah satu dari sudut bahasa dan bukan mengkaji akan bahasa itu sendiri.

Walau demikian, usaha mereka perlu mendapat penghargaan. Bahkan kesan dan pengaruh dari kajian mereka amat besar. Merekalah yang telah mendorong perkembangan kajian. Sebagai contoh, kita dapat menemukan pembahagian bahasa manusia secara keseluruhan. Kajian ini telah bermula dari melihat keserasian – keserasian yang terkandung dalam membentukkan kalimat, membentukkan ayat, jenis suara yang digunakan. Kita dapat melihat ada beberapa bahasa yang seakan-akan merupakan asal dan bahasa lain sebagai cabang. Maka, kajian ini memberi hasil yang besar dalam mengungkap rahsia disebalik suatu bahasa.

Pembahagian terdahulu adalah kepada 3 bahagian iaitu Kumpulan bahasa Yafitsiyyah atau Ariyyah. Iaitu kumbulan bahasa yang dinasabkan kepada Yafist Bin Nuh AS. Kumpulan kedua kepada kumpulan bahasa-bahasa samiah iaitu kumpulan bahasa yang dinasabkan kepada Sam Bin Nuh AS. Kumpulan yang ketiga pula adalah kumpulan bahasa Hamiah iaitu kumpulan bahasa yang dinasabkan kepada Ham Bin Nuh AS.

Pembahagian bahasa dunia (era silam) kepada tiga ini ternyata lebih condong kepada pembahagian berdasarkan letak geografis dan kekuatan politik suatu kaum. Maka, pengkaji di zaman moden seperti Max Muler membuat pembahagian ulang yang lebih terperinci berdasarkan keserasian bahasa. Maka dibahagikanlah kepada 3 kumpulan: 

1. Kumpulan Ariyah (Hindudan eropa) [Greek, Latin, Perancis, Spain, Portugal, Roman, Ireland, German, Holland, Rusia, Parsi, Senskret]
2. Kumpulan Samiah dan Hamiah [Babiliah, Aramiah, Finiqiah, Arabiah, Siryaniah, Habsyiah]
3. Kumpulan Tauraniah iaitu bahasa-bahasa lain yang tidak termasuk ke dalam dua pembahagian di atas. Tauraniah hanyalah merupakan istilah bagi memudahkan pembahagian.

Pembahagian ini telah banyak membantu para pengkaji untuk meneliti lebih mendalam akan pelbagai permasalahan bahasa. Ia membantu kita mengenal ciri-ciri asal bahasa seperti bahasa Arab. Kita mula mengenal istilah-istilah yang berkembang dan berpindah. Kita juga mula mengetahui penyebab-penyebab hancurnya suatu bahasa dan kukuhnya suatu bahasa.

Mengenali keluarga besar bahasa Samiah, lalu mengenali keluarga besar bahasa Arab dan akhirnya mengenal bahasa Arab Fushhah memperlihatkan sebuah perjalanan panjang bahasa Arab. Bahasa Fushhah yang akhirnya didominan dengan lahjah Quraisy pada waktu penurunan Al-Quran tidak lain merupakan sebuah bahasa yang telah benar-benar ‘masak’ setelah proses pendewasaan panjang yang telah dilaluinya. Ia dikukuhkan lagi dengan usaha para ulama meletakkan garis panduan yang hari ini kita kenal dengan cabang ilmu seperti nahu, soraf, balaghah, dilalah dan sebagainya.

Contoh mudah yang dapat saya berikan adalah istilah ustaz. Ia bukan asli bahasa Arab akan tetapi ia berasal dari bahasa Farisiah (Parsi) seperti yang terkandung di dalam Kamus Stingash. Ia merupakan sebuah istilah yang diberikan kepada mereka yang pandai mencipta sesuatu. Istilah ini tidak dapat ditemui di dalam syair-syair jahili (era sebelum Islam) yang menjadi bukti bahawa ia bukanlah berasal dari bahasa Arab. Para pengkaji mempercayai bahawa penduduk Iraq adalah mereka yang pertama menggunakan istilah ini memandangkan hubungan erat mereka dengan bangsa Parsi. Penggunaan istilah ini kemudian berkembang sedikit demi sedikit menuju ke Jazirah dan akhirnya sampai pada daratan Syam. Dari Syam ia tersebar ke seluruh penjuru alam yang penduduknya menggunakan bahasa Arab. Tidak hanya perkembangan terjadi dari sudut penggunaan bahasa akan tetapi juga perkembangan dari sudut makna. Jika dulu ustaz ditujukan kepada mereka yang mahir mencipta sesuatu, maka kini ustaz dinaik taraf menjadi anugerah bagi mereka yang mengemban amanah terberat iaitu mencipta manusia.

Memandangkan ia merupakan istilah dari Parsi maka adalah sepatutnya ia berasal dari sin-ta’-zal kerana bahasa Parsi tidak memiliki huruf furu’ seperti alif wau atau ya’.

Berdasarkan dari kata asal Parsi yang diarabkan ini maka Ustaz adalah kata ‘alam (kata khas untuk sesuatu yang telah diketahui). Jika demikian adalah salah jika kita meletakkan tanda ta’nis untuk perempuan seperti ustazah. Bentuk yang betul adalah menetapkannya dalam bentuk asal walaupun ia ditujukan kepada perempuan. Namun, Ibnu Jinni membolehkan seperti kata ini untuk dimasukkan ke dalam kata sifat. Maka diperlakukan seperti kata lain yang mendapat tanda ta’nis ketika dikaitkan dengan perempuan.

Demikianlah bagaimana contoh kajian ini memberi kesan positif agar kita mengenal bahasa kita dan mengembangkannya mengikut dasar-dasar dan ketentuan-ketentuan sehingga perkembangan dalam bahasa tidak merosakkan struktur asas bahasa. Menguasai bidang ini membuatkan kita mampu mewarisi bahasa tanpa ada perselisihan paham antara golongan yang terdahulu dan golongan yang terkemudian. Inilah diantara rahsia mengapa bahasa Arab 1400 tahun yang lalu masih tidak berubah dengan bentuknya yang asas dari bahasa Arab yang digunakan pada saat ini. Mempelajari asas-asas bahasa akan menyebabkan seseorang mampu memahami setiap teks bahasa tanpa mengira usianya dan zaman ia ditulis.

BUAH UTAMA KAJIAN INI?

Buah utama yang dapat dipetik dari kajian ini adalah mengenal pasti perkara-perkara yang menjadi tulang belakang dan otak suatu bahasa. Menghancurkan fungsi tulang belakang dan otak dapat melumpuhkan suatu makhluk hidup maka begitu juga pada suatu bahasa. Memupuskan bahasa hanya akan terjadi dengan menghancurkan tulang belakang dan otak suatu bahasa. Menghancurkan tulang belakang membuatkan suatu bahasa rapuh tanpa asas-asas yang menjaga jadi rosak sedangkan menghancurkan otak adalah menutup kreativiti yang mendorong perkembangan suatu bahasa sehingga timbul isu kemiskinan istilah dan kekurangan kata. Padahal ia hanyalah berpunca dari gagalnya pemilik bahasa itu mengembangkan bahasa mereka atas asas-asas bahasa mereka sendiri.

Hal ini sangat-sangat dimanfaatkan oleh golongan yang miliki masalah hati. Usaha kajian mereka yang bukan berdasarkan konsep penghambaan kepada Allah yang Maha Esa membuatkan mereka gigih menjauhkan bahasa Arab dari bangsa Arab dari umat Islam.

Itulah sebabnya kita menemukan bagaimana mereka berusaha gigih memperalat bahasa Ammiah sebagai serigala berbulu domba yang dapat memisahkan suatu bangsa dengan bahasa mereka. Saat ini kita dapat melihat bagaimana bangsa Arab kehilangan identiti dengan jahilnya mereka terhadap khazanah agung berupa bahasa Arab. Mereka sentiasa merasa bahasa mereka tidak cukup dan keperluan untuk bergantung kepada bahasa lain. Kita tidak menafikan keperluan untuk mampu berbahasa dengan bahasa peneraju ketamadunan semasa namun adalah sebuah kesalahan apabila meninggalkan bahasa ibunda sendiri. Apalagi jika seandainya bahasa itu mengandung lebih dari sekadar bahasa. Mengandung khasiat keagamaan, kebudayaan dan sopan-santun.

Penulis : Taqeyyabella

Komentar : salam, pembentangan yang bagus.. cuma tentang apa yang dikatakan saudara tentang masalah dari mana datangnya bahasa, apa yang jelas pada saya samada berdasarkan dalil aqli atau naqli adalah bahasa sememangnya tauqifi.. tak perlu saya kemukakan dalil naqli yang boleh mengukuhkan pandangan ini kerana sudah tentu ia sedia maklum buat saudara, tetapi apa yang hendak saya tekankan di sini bahawa setiap apa yang datang tak kira dari mana asalnya atau siapa yang memulakannya semuanya bermula dengan taqdir dan izinNya, ini jelas dalam satu hadis baginda s.a.w: رفعت الأقلام وجفت الصحف.. Tentang istilah baru yang terbit dewasa ini, ia masih lagi tidak lari dari suratan Allah sejak azali dan lahirnya istilah2 baru dalam sesuatu masyarakat atau bangsa adalah ilham dariNya.. pendapat yang mengatakan bahasa adalah tauqifi ini dibenarkan oleh ibnu faris dalam الصاحبي m/s 36 cetakan pertama oleh maktabah ma’arif, bairut (pada dasarnya, skop perbahasan ibnu faris dalam buku tersebut adalah asal bahasa arab namun suka saya ulang kata2 ibnul khabbaz dalam شرح اللمع, katanya selepas mengatakan bahawa bahasa adalah satu dari perkara yang berkaitan dengan aqal.. والأمور العقلية لا تختلف باختلاف اللغات

Monday 14 May 2012

Sebab ini bukan yang pertama kali


Petang yang indah dan cuaca agak panas menuju ke Hospital. Inilah jalan yang kami lalui..cantik.. Bekalan pakaian sudah cukup ku bawa dan beberapa barang yang menghilangkan bosan juga ku bawa..tak larat nak menggosok pakaian lain, jubah yang ku pakai minggu lepas ku saut. Masih bersih. 


Jikalau hari itu aku dalam keadaan 'kecemasan' hanya sempat menyarung kain pelikat tebal suamiku, tudung labuh dan t-shirt berlengan panjang. Keadaan yang menggerunkan pagi itu sudah cukup untuk memilih pakaian berkenaan untuk dipakai. Betapa cemasnya pagi itu, suamiku terlupa mengunci pintu bahagian dalam rumah. Hanya grill door sempat dikunci. Aku diberitahu jiran sebelah rumah, dia ingatkan ada pencuri pecah masuk ke dalam rumah sebab pintu bahagian dalam terbuka.



Hospital Likas. Hospital Wanita dan Kanak-kanak. Tak pernah aku duga akan datang sekali lagi ke sini. Tetapi kali ini lebih tenang keadaannya. Mampu lagi memperpanjang segala doa, zikir dan selawat. Sehingga alhamdulillah terasa Allah menolong insan yang banyak derhaka ini.

Kali ini, sebelum menjalani apa yang dijanjikan, aku sempat solat di dalam wad. Di sini, pesakit ada yang bukan Islam tetapi menghormati apa yang aku kerjakan. begitu juga dengan jururawat yang bukan Islam yang mahu mengambil data daripadaku, menunjukkan reaksi ''oh..ok2..teruskan.." 

Terasa di sini bahawa fitrah manusia itu terbit bukanlah dari apapun gagasan yang direka-reka oleh manusia. Adakah kerana 1 Malaysia semua persefahaman ini timbul? Mungkin membantu tetapi itu adalah perkara yang tidak berasas kerana seolah-olah menolak fitrah persefahaman dan kasih sayang yang sememangnya ada di dalam diri setiap manusia walaupun berbilang kaum dan agama.

Pada hari Isnin membuat pemeriksaan di Klinik berdekatan. Drama kehidupan itu telah seminggu berlalu. Aku berjaya memujuk suamiku untuk terus mengajar di surau taman walaupun perasaanya sangat teruji pada maghrib lalu. Hanya mampu mengungkap di dalam hati "Pergilah tolong agama Allah..insyaAllah Allah menolong kita.." melihat raut wajah risaunya aku tak tahan. Alhamdulillah..seperti malam inilah, suaranya kuat berkumandang di taman perumahan ini semangat berkuliah. Semoga Allah mudahkan jalan kepada kita menuju syurga ya abang...amin..

Di hospital sebelum ke OT, seorang doktor berbangsa India datang ingin mengambil darahku. Tinggi lampai orangnya, cantik macam artis Bollywood! Dia bertanya adakah aku sedih..dia sangat sensitif. Ada doktor yang tidak begitu. Hanya tugas tugas dan tugas semata. Bila dia tanya baru aku tersedar..ya, sedih pada Isnin lalu tetapi perasaan yang dominan sewaktu di hospital, aku lebih rasional dan rasa lapang dada ini. Hanya takut. Takut sebab tak tahu bagaimana aku bila berada di OT nanti. Adakah dalam keadaan sedar, separuh sedar atau tidak sedar langsung. Jenis yang tak tahan sakit!

Doktor itu tanya, aku jawab dalam hati yang berasa lapang dengan ujian kali ini,
"Sebab ini bukan yang pertama kali.."

Kesan didikan Tuhan yang sangat kenal hamba-hamba-Nya. Apabila yang dahsyat pernah datang dalam hidup kita, yang kurang dahsyat dari itu apabila datang hanya dipandang dengan lebih lapang. Apapun peristiwa yang menguji. Air mata tetap juga gugur tanda akulah wanita dan aku sangat sensitif dengan setiap kejadian. Hanya orang yang sensitif mampu melihat betapa kehidupan itu adalah sebuah SENI.

Alhamdulillah..selesai apa yang dijanjikan. Allah memilih waktu yang terbaik. Pada malam hari sewaktu masa melawat sudahpun tamat. Untuk yang belum tahu, kalau masuk OT, memang akan hanya memakai pakaian khas sahaja. Segala pakaian sendiri tidak dibenarkan pakai. Supaya tidak ada mudharat yang lain. Ya, ini kes nak menyelamatkan nyawa bukan saja-saja. Dan berdoa juga supaya ada kaedah yang lebih baik selepas ini berkenaan aurat walaupun di bilik bedah. Yang mesra-Muslimah. Aku berusaha untuk menjaga auratku selagi berpeluang menjaganya dan selagi 'kadar untuk darurat' itu belum tiba. Jadi, aku sangat malu kalau selepas keluar dari OT nanti dalam keadaan aku belum sedar, terlantar dengan 'topi bulat' tu..kalau ada pelawat lelaki huhu malunya...tetapi alhamdulillah ..Allah memberi waktu terbaik untukku.

Aku tak putus berdoa semoga doktor wanita yang mengendalikan aku. Ya, doktor India. Alhamdulillah..OK berbanding lelaki. Fiqh keutamaan memilih perawat bagi Muslimah. (boleh rujuk di sini ) :

1. Doktor Muslimah
2. Doktor Wanita non-Muslim
3. Doktor Muslim
4. Doktor Lelaki non-Muslim

Doktor kata, berat badanku terlalu rendah dan sangat tidak sesuai untuk ibu mengandung. Jadi, sekarang, aku jadi bersemangat nak tambahkan berat badan.. hehe.. Doakanku pulih sepenuhnya.. ;-)




Sudah 2 minggu tidak mengajar di Tuisyen tahfiz. Tak sangka anak-anak ini masih ingat ustazah yang nakal ini. Rindu untuk bertemu mereka. InsyaAllah sebelum pulang ke Besut, ingin juga melawat mereka sekejap. Ringkas 'kad' ini tetapi sangat bermakna. 
Terharunya...sob...sob... :-(


Sunday 13 May 2012

Mood : Nur Kasih






Lewat ini ku rasakan
Kasih kian ku dambakan
Resah hati yang ku pendam
Pada takdir dan harapan..

Detik waktu dan suratan 
Siapa tahu ketentuan
Ku mencari cahaya-Nya
Dalam bayang kegelapan

Nur Kasih..

Nasib hidup dan pilihan
Lain untuk setiap insan
Melayarkan perjalanan
Dalam maya kesamaran

Nur Kasih..

Aku kembali 
Kerana masih mencari
Yang Hakiki
Sinar pasti
Janji suci
Yang abadi