Anak adalah anugerah ternilai buat manusia yang berkasih sayang. Itulah fitrahnya. Yang telah melanggar fitrah itu pula adalah orang yang telah kabur pandangannya dengan nikmat dan anugerah Tuhan yang berkat. Hanya ada dua jalan ; diredhai atau mungkar. Tidak nampak indahnya jalan berkat, berjalan lancarlah segala perancangan mungkar. Moga-moga kita terpelihara dan sentiasa memilih dan melalui jalan yang berkat.
Kerana berharganya seorang anak, ada pasangan yang berhabisan beribu-ribu ringgit berusaha dengan pelbagai cara untuk mendapatkan zuriat lantaran masalah kesihatan dan sebagainya. Kerana berharganya seorang anak, ramai ibu bapa ingin pastikan anak-anak mereka cukup makan dan membesar dengan sihat. Kerana berharganya seorang anak, ibu bapa akan mencurahkan pendidikan yang sempurna kepada mereka supaya mereka kelak menjadi pembela ummah. Kerana berharganya seorang anak, dengan izin-Nya akan menolong kita dalam perjalanan panjang sebelum sampai ke Syurga-Nya. InsyaAllah.
Kisah pengalamanku, sebuah ibrah.
Aku tidak pernah menjangka akan bernikah pada usia muda apatah lagi pada pertengahan aku menuntut ilmu. Apa lagi aku tak pernah jangka yang aku akan bergelar "ibu" pada usia yang muda. Dengan izin-Nya semuanya terjadi sekelip mata. Baru ku tahu, naluri ibu itu adalah satu anugerah Tuhan yang unik. Bayangkan seluruh proses kejadian si anak (manusia) sebagai khalifah berlaku di dalam rahim si ibu. Segala aktiviti jasmani, rohani, intelektual dan spiritual seolah-olah 'dikongsi' bersama dengan si anak. Malah, pada peringkat inilah si anak mendapat pendidikan yang pertama dan yang paling utama seharusnya diterima.
Satu perkara paling penting. Anak bukanlah datang daripada 'kesuburan' si suami dan si isteri semata. Sebab hidup ini bukan sahaja sebuah teori. Itulah makna sebuah kehidupan. Yang penuh dengan hal-hal yang tak terduga. Kalau tidak, masakan ada pasangan yang selepas sepuluh tahun hidup bersama kemudian mereka dikurniakan anak? Adakah anda mempunyai sebarang idea untuk mengatakan sebab-sebab dalam masa sepuluh tahun barulah sperma dan ovum boleh bersenyawa? Sedangkan manusia itu nampak serupa. Kenalilah kehidupan..bahawa serupa jasad, namun kisah setiap jasad adalah tidak sama.
Agak terkilan apabila ada orang yang 'sanggup' mempertikaikan atau seolah-olah tidak memahami hakikat betapa berharganya janin yang 'disemai' dengan benih yang halal lagi berkat. Kerana 'terkorban'nya pencapaian peribadi dalam akademik, aku diterjah dengan persoalan yang aku tidak harapkan. Dan sebenarnya langsung aku tak mahu dengar. Bukan atas alasan emosi, tetapi atas sebab kehendak dan iradat Tuhan yang Maha Menjadikan segala sesuatu. Apalagi apabila Allah menjadikan aku seorang yang sangat menghargai adanya janin yang sedang membesar di dalam rahimku. Di antara nikmat dan anugerah yang paling besar setakat ini yang pernah aku rasa. Tidak berani aku katakan 'kehadirannya' terlalu awal atau lambat. Menyedari hakikat kehidupan yang tidak selalunya indah namun ada rahmat dan hikmat di sebaliknya, kesedihan seorang wanita bergelar isteri yang langsung tidak dapat melahirkan zuriatnya sendiri tidak dapat aku gambarkan. Semoga untuk mereka, ganjaran Tuhan yang tidak ternilai aku doakan kerana mereka menghadapi kesabaran yang sangat tinggi. Yang pernah diuji, andalah yang lebih memahami dan rasa bagaimana keperitannya. Yang tidak diuji, rendahkan hati supaya anda dapat melihat hakikat kehidupan.
Syukur, pendirianku adalah juga pendirian suamiku tercinta.
Syukur, aku berjaya 'terjemahkan' prinsip hidupku walau kadang-kadang tak sehaluan.
Syukur, aku tidak "merancang" untuk lambatkan atau cepatkan kehamilanku kerana aku inginkan sebuah kehidupan yang ada makna. Bukan kronologi semata.
Perancangan Allah itu lebih indah drp jalan y hamba pilih sendiri.
ReplyDelete