Entri ini sebenarnya sudah lama tersimpan. Buka laptop, tiba-tiba kedatangan idea untuk menghabiskannya.
Ramai yang ingin ada anak. Dan alhamdulillah, Allah mengurniakan hamba-hambaNya ini zuriat keturunan. Namun, ramai juga manusia yang LUPA perihal mendidik anak yang semakin hari semakin membesar.
Saya sedar sebenarnya tak layak untuk berbicara hal ini kerana saya belum diizinkan Allah untuk melalui fasa perjuangan mendidik generasi zuriat sendiri, hanya merasai fasa " persediaan " sahaja dan tanpa saya minta dan tanpa kami duga, Allah meletakkan anak pertama kami di tempat yang kami entah mampu atau tidak mendidik arwah (jika Allah mengizinkannya menikmati dunia) sehingga membawanya ke “sana” dengan selamat. Ya, tempat yang dijanjikan. Ameen. Semoga tenangmu diwarisi pula ummi dan abi. Orang kata, “belum setahun jagung”… Namun, inilah pengamatan saya ketika ini. Boleh juga dikatakan sebagai pengamatan muda oleh saya.
Saya memang seorang yang suka mengamati sosial dan persekitaran. Sebab itu (mungkin) saya seorang yang sensitif. Dan yang penting saya cuba belajar sesuatu daripada pengamatan saya. Jadi, saya tidak harus ada sikap terlalu yakin, bias, memulakan pengamatan dengan sangkaan yang tidak sepatutnya dan saya harus sentiasa dalam keadaan neutral. Bukan talam dua muka, tetapi menerima dalam keadaan membuat penilaian yang lebih dalam. Anda mengerti?
Berbalik kepada topik utama. Semua orang tahu anak itu satu anugerah. Ada orang yang merasakan hidupnya sudah sempurna dengan memiliki anak-anak dan mampu memenuhi keperluan asas mereka. Cukup dan suatu pencapaian tertinggi dalam kehidupan. Sangat berpuas hati. Ada isteri/suami, ada anak…sempurna sudah! Dengan kata lain, cukup syarat berkeluarga.
Dan hari ini, teori-teori pengamatan majoritinya benar. Saya tak mengatakan keseluruhan sebab rencana Allah mengatasi pengamatan lemah manusia. Yang minoriti itu pastinya sebagai suatu bentuk tarbiyah Allah kepada kita bahawa Allah lah yang lebih berhak ke atas setiap makhluk-Nya. Supaya kita akhirnya kembali kepada Sang Pencipta segala sesuatu. Ya, lantaran akal kita yang terbatas.
Siapa yang tak sayang anak? Sudah tentu lingkungan topik ini, persoalannya dituju kepada mereka yang tidak bertindak di luar tabi’i. Tidak semestinya pula bertegas dengan anak itu, dengan memukul anak tanda kita telah menunjuk ajar. Benarkah tindakan kita, padankah hukuman dengan kesalahan, adakah benar tunjuk ajar kita itu? Mengikut panduan Allah kah? Atau sayangkan anak tanpa dirotan sedikitpun jikalau usia sepuluh tahun masih malas menunaikan solat? Adakah kerana mengikut panduan pula, tidak diberi amaran dulu sebelum bertindak merotan di atas kesalahan kali keduanya?
Cakap senang. Menulis pun senang. Sayang anak bukanlah diukur dengan betapa banyak wang dihabiskan untuk membeli makanan, pakaian, dan pelbagai macam keperluan yang ASAS bagi mereka. Sebab, jika diperhatikan, semua orang MAMPU melaksanakannya walaupun kita bukan kalangan yang bekerja ‘makan gaji’. Kerana kita ada kudrat untuk mencari nafkah. Asal cukup makan, pakai, boleh tidur dan sekolah, itu mencukupi. Dan kerana fitrah manusia yang tak sanggup biarkan anak tak cukup makan, sakit dan sebagainya.
Namun, nak jadikan anak itu sebagai seseorang yang benar-benar kita kasihi bukan semudah ucapan sayang dan menyediakan kepeluan asas. Bukan lafaz "sayang" di bibir yang diiringi misi dan visi yang kosong, segalanya perlu diperhalusi kerana kelak Allah akan bertanya kita, pihak yang diamanahkan ini. Nikmat bukan sahaja tatkala kita melahirkan zuriat dari benih sendiri yang halal lagi berkat (insyaAllah, Syukur yang amat..) Namun, terkadang terlupa pula menterjemahkan rasa SYUKUR itu. Dapat anak, syukur…dan berazam nak didik anak-anak betul-betul dan sungguh-sungguh..barulah beterusan rasa syukur kita dan selain itu, kita tak akan mudah rasa lelah dan putus asa dalam perjuangan mendidik generasi yang bakal menyambung perjuangan Rasulullah SAW ini. Begitu bersusah payah kita melahirkannya, hanya keperluan asas itu yang kita sediakan untuk anak-anak? Berbaloi kah kesakitan yang kita rasa jika usaha mendidik mereka hanya setakat itu?
Maaf..mungkin seperti saya sangat enak menulis. Ya, cakap senang, menulis juga senang. Tatkala ini, saya menulis sambil saya cuba meninjau keadaan pada masa akan datang dan bermuhasabah sebelum saya MULA dan sebelum saya TERLAMBAT (Ya, dengan izin Allah). Anda faham? Sebelum saya ke garisan perMULAan mendidik mereka dan juga sebelum saya TERLAMBAT menyedari hakikat ini. Yang perlu difikirkan oleh setiap orang yang bergelar suami dan isteri.
Misi dan Visi bapa kepada Imam Asy-Syafi’ie dalam mendidik beliau sehingga menjadi seorang Asy-Syafi’ie yang kita kenali sebagai orang yang hebat pada hari ini adalah bemula ketika bapanya memilih seorang ibu untuk beliau lagi. Seawal itu. Dan dari pihak ibunya pula dengan kata lain, mendidik anaknya bermula sejak beliau masih lagi seorang dara. Seawal itu. Anda mengerti?
Maknanya, pemilihan pasangan. Manusia tak sempurna, memang. Tetapi, jika kita berusaha meningkatkan diri kita menuju iman, taqwa dan redha-Nya, adakah pemilihan pasangan kita nanti dipilih dari kalangan yang tidak mempunyai cita-cita yang sama dengan kita? Kerana itu, perlu jauhnya kita berfikir bahawa, kita bakal melahirkan generasi yang pada tangan kitalah bagaimana kehidupan mereka dicorakkan. Jodoh itu ketentuan Allah. Ya, ada di kalangan masyarakat kita, seorang yang soleh menikahi wanita yang biasa-biasa, kurang penghayatan tentang agama…rahsia Allah yang mahu memberikan hidayah itu kepada wanita itu sampai menjadi wanita yang solehah siapa yang tahu? Kenapa pula ayat-ayat perangsang Allah tentang “Wanita yang baik untuk lelaki yang baik” diturunkan jikalau tidak lain tidak bukan untuk menyeru manusia lelaki dan perempuan untuk berusaha menjadi orang yang soleh/solehah. Hal takdir jodoh dengan siapa, rencana Allah Yang Maha Kuasa. Kita perlu berdoa dan berusaha k e r a s. Dan semoga Allah mentakdirkan sesuatu yang terbaik di atas usaha yang sungguh-sungguh dari kita.
Itulah yang Nabi Muhammad SAW ajarkan kepada umat manusia supaya bertindak ‘memilih’ dahulu seseorang yang akan dijadikan isteri atau suami. Kerana, mendidik anak-anak ini diibaratkan seperti menanam tanaman yang memerlukan tanah yang subur yang tidak dipenuhi dengan lalang-lalang yang akan membantutkan pertumbuhan biji benih yang kita semai itu selain daripada baja dan keperluan asas lain yang mencukupi.
Menyambut kelahiran si anak ini sungguh teruja dan satu perkara yang paling menggembirakan dan yang paling dinanti-nantikan buat pasangan suami isteri. Segala bekalan untuk menyambutnya disediakan dengan gembiranya. Alangkah lebih beruntung dan berbaloi sekiranya segala kesakitan, susah payah yang dirasa daripada saat kelahiran sehingga dia berjaya membesar menjadi seseorang yang jiwanya adalah jiwa Pemuda-pemuda Kahfi, jiwa Pejuang-pejuang Badar, jiwa Penakluk Muda Al-Fateh, jiwa sang pencinta ilmu, jiwa-jiwa mujaddid, jiwa-jiwa murobbi, jiwa-jiwa pemberani dalam menegakkan yang haq . . . .
Seorang ibu yang besar cita-citanya, yang berani bermimpi besar bak kata Laskar Pelangi tidak cukup dengan hanya mengerti teori-teorinya..Harus ada pergerakkannya. Dan pemula kepada semua itu adalah daripada bakal ayah dan bakal ibu. Bermimpi besar biar juga berani bekerja keras dan berusaha besar dan luar biasa supaya hasilnya juga besar luar biasa!
#Masih belum terlambat untuk saya berusaha untuk menjadi pencetus dan pemula kepada lahirnnya jiwa-jiwa besar ini#
Salamkunjungan maya dri Lautan rabbani. Apa khabar? Moga Allah kasih. :)
ReplyDeleteterima kasih sudi berkunjung =)
ReplyDelete