Petang yang indah dan cuaca agak panas menuju ke Hospital. Inilah jalan yang kami lalui..cantik.. Bekalan pakaian sudah cukup ku bawa dan beberapa barang yang menghilangkan bosan juga ku bawa..tak larat nak menggosok pakaian lain, jubah yang ku pakai minggu lepas ku saut. Masih bersih.
Jikalau hari itu aku dalam keadaan 'kecemasan' hanya sempat menyarung kain pelikat tebal suamiku, tudung labuh dan t-shirt berlengan panjang. Keadaan yang menggerunkan pagi itu sudah cukup untuk memilih pakaian berkenaan untuk dipakai. Betapa cemasnya pagi itu, suamiku terlupa mengunci pintu bahagian dalam rumah. Hanya grill door sempat dikunci. Aku diberitahu jiran sebelah rumah, dia ingatkan ada pencuri pecah masuk ke dalam rumah sebab pintu bahagian dalam terbuka.
Hospital Likas. Hospital Wanita dan Kanak-kanak. Tak pernah aku duga akan datang sekali lagi ke sini. Tetapi kali ini lebih tenang keadaannya. Mampu lagi memperpanjang segala doa, zikir dan selawat. Sehingga alhamdulillah terasa Allah menolong insan yang banyak derhaka ini.
Kali ini, sebelum menjalani apa yang dijanjikan, aku sempat solat di dalam wad. Di sini, pesakit ada yang bukan Islam tetapi menghormati apa yang aku kerjakan. begitu juga dengan jururawat yang bukan Islam yang mahu mengambil data daripadaku, menunjukkan reaksi ''oh..ok2..teruskan.."
Terasa di sini bahawa fitrah manusia itu terbit bukanlah dari apapun gagasan yang direka-reka oleh manusia. Adakah kerana 1 Malaysia semua persefahaman ini timbul? Mungkin membantu tetapi itu adalah perkara yang tidak berasas kerana seolah-olah menolak fitrah persefahaman dan kasih sayang yang sememangnya ada di dalam diri setiap manusia walaupun berbilang kaum dan agama.
Pada hari Isnin membuat pemeriksaan di Klinik berdekatan. Drama kehidupan itu telah seminggu berlalu. Aku berjaya memujuk suamiku untuk terus mengajar di surau taman walaupun perasaanya sangat teruji pada maghrib lalu. Hanya mampu mengungkap di dalam hati "Pergilah tolong agama Allah..insyaAllah Allah menolong kita.." melihat raut wajah risaunya aku tak tahan. Alhamdulillah..seperti malam inilah, suaranya kuat berkumandang di taman perumahan ini semangat berkuliah. Semoga Allah mudahkan jalan kepada kita menuju syurga ya abang...amin..
Di hospital sebelum ke OT, seorang doktor berbangsa India datang ingin mengambil darahku. Tinggi lampai orangnya, cantik macam artis Bollywood! Dia bertanya adakah aku sedih..dia sangat sensitif. Ada doktor yang tidak begitu. Hanya tugas tugas dan tugas semata. Bila dia tanya baru aku tersedar..ya, sedih pada Isnin lalu tetapi perasaan yang dominan sewaktu di hospital, aku lebih rasional dan rasa lapang dada ini. Hanya takut. Takut sebab tak tahu bagaimana aku bila berada di OT nanti. Adakah dalam keadaan sedar, separuh sedar atau tidak sedar langsung. Jenis yang tak tahan sakit!
Doktor itu tanya, aku jawab dalam hati yang berasa lapang dengan ujian kali ini,
"Sebab ini bukan yang pertama kali.."
Kesan didikan Tuhan yang sangat kenal hamba-hamba-Nya. Apabila yang dahsyat pernah datang dalam hidup kita, yang kurang dahsyat dari itu apabila datang hanya dipandang dengan lebih lapang. Apapun peristiwa yang menguji. Air mata tetap juga gugur tanda akulah wanita dan aku sangat sensitif dengan setiap kejadian. Hanya orang yang sensitif mampu melihat betapa kehidupan itu adalah sebuah SENI.
Alhamdulillah..selesai apa yang dijanjikan. Allah memilih waktu yang terbaik. Pada malam hari sewaktu masa melawat sudahpun tamat. Untuk yang belum tahu, kalau masuk OT, memang akan hanya memakai pakaian khas sahaja. Segala pakaian sendiri tidak dibenarkan pakai. Supaya tidak ada mudharat yang lain. Ya, ini kes nak menyelamatkan nyawa bukan saja-saja. Dan berdoa juga supaya ada kaedah yang lebih baik selepas ini berkenaan aurat walaupun di bilik bedah. Yang mesra-Muslimah. Aku berusaha untuk menjaga auratku selagi berpeluang menjaganya dan selagi 'kadar untuk darurat' itu belum tiba. Jadi, aku sangat malu kalau selepas keluar dari OT nanti dalam keadaan aku belum sedar, terlantar dengan 'topi bulat' tu..kalau ada pelawat lelaki huhu malunya...tetapi alhamdulillah ..Allah memberi waktu terbaik untukku.
Aku tak putus berdoa semoga doktor wanita yang mengendalikan aku. Ya, doktor India. Alhamdulillah..OK berbanding lelaki. Fiqh keutamaan memilih perawat bagi Muslimah. (boleh rujuk di sini ) :
1. Doktor Muslimah
2. Doktor Wanita non-Muslim
3. Doktor Muslim
4. Doktor Lelaki non-Muslim
Doktor kata, berat badanku terlalu rendah dan sangat tidak sesuai untuk ibu mengandung. Jadi, sekarang, aku jadi bersemangat nak tambahkan berat badan.. hehe.. Doakanku pulih sepenuhnya.. ;-)
Sudah 2 minggu tidak mengajar di Tuisyen tahfiz. Tak sangka anak-anak ini masih ingat ustazah yang nakal ini. Rindu untuk bertemu mereka. InsyaAllah sebelum pulang ke Besut, ingin juga melawat mereka sekejap. Ringkas 'kad' ini tetapi sangat bermakna.
Terharunya...sob...sob... :-(
No comments:
Post a Comment