RSS

Sunday, 20 January 2013

Kelahiran

                                      Seorang wanita yang baru hampir 4 bulan bergelar isteri menemani sahabatnya ke klinik berhampiran untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Kebetulan pada hari itu diadakan pameran dan suntikan imunisasi rubella kepada pengunjung secara percuma. Sementara menunngu sahabatnya itu selesai membuat pemeriksaan, beliau menuju ke bahagian pameran untuk mendapatkan suntikan.


Rubella/campak Jerman merupakan penyakit zaman dahulu yang berasal dari Jerman dan perkataan 'Rubella' adalah perkataan Latin yang bermaksud bintik-bIntik merah. Virus rubella menyerang tanpa disedari dan telah merebak ke seluruh dunia. Seseorang boleh terjangkit melalui cecair yang dikeluarkan oleh orang yang telah menghidap penyakit tersebut seperti bersin, batuk dan juga percakapannya. Oleh sebab itulah Kementerian Kesihatan membuat inisiatif dengan mengadakan program imunisasi kepada pelajar perempuan yang berumur di antara 11 hingga 14 tahun.

Sebelum diberikan suntikan imunisasi, setiap wanita perlu memeriksa darah atau urea badan terlebih dahulu untuk memastikan 'kelayakan' untuk disuntik. Vaksin akan diberikan sekiranya kandungan darah atau urea seseorang wanita tidak mengandungi human chorionic gonadotropin, HCG iaitu hormon kehamilan. Atau dengan kata lain, vaksin tidak boleh diberi kepada wanita yang hamil kerana berbahaya kepada bayi.

Setelah membuat pemeriksaan kehamilan, keputusan yang diperoleh ialah negatif. Maka, beliau boleh divaksinisasi. Doktor mengatakan bahawa selepas vaksin ini berada di dalam salur darah, wanita tersebut tidak dibenarkan hamil. Beliau diberi pilihan sama ada untuk mengambil ubat perancang atau ingin merancang sendiri supaya beliau tidak hamil selama dalam tempoh beberapa bulan. Wanita itu memilih unuk merancang sendiri. Beliau tidak mahu mengambil risiko daripada memakan ubat perancang.

Dua minggu kemudian, wanita tersebut mengalami gejala morning sick, loya-loya dan keletihan. Seperti simptom-simptom orang yang sedang hamil. Hairan. Beliau ke klinik untuk membuat pemeriksaan setelah seminggu berkeadaan begitu. Keputusannya ialah wanita itu hamil. Beliau terkesima dan rasa tidak percaya dengan keputusan itu. Namun, jauh dari sudut hati dan nurani seorang wanita, beliau sangat gembira mendengar berita itu. Apatah lagi mengandungkan zuriat yang pertama. Sudah pasti itulah 'hadiah' yang paling berharga buat suaminya dan seluruh ahli keluarga terutama ibu bapanya dan mertuanya.

Lamunan kegembiraan terhenti apabila beliau teringat akan sesuatu yang sangat penting dan langsung membunuh perasaan gembiranya. Beliau memberitahu doktor bahawa beliau baru diimunisasi 3 minggu yang lalu. Doktor terkejut mendengarnya dan terus memarahi beliau. Oleh sebab beliau tidak mengambil ubat perancang, doktor menuduh yang beliau tidak mengikut peraturan kesihatan. Beliau menjelaskan perkara sebenar dengan sedikit beremosi tentang ujian ureanya yang negatif hamil. Siapa yang tahan dengan tuduhan? Lagi-lagi wanita yang sedang hamil dengan keadaan hormon yang tidak stabil 'diterjemahkan' melalui emosinya.

Vaksin yang diterima oleh si Ibu yang mengandung akan membahayakan bayinya. Oleh sebab sistem imun bayi adalah sangat lemah, badan bayi tidak dapat melawan 'bandasing' iaitu vaksin rubella yang 'kuat' itu. Doktor memberitahu bahawa berkemungkinan bayi yang dikandung akan cacat dan mencadangkan supaya menggugurkan janin yang dikandungnya. Beliau sangat tidak bersetuju untuk menggugurkan bayinya. Beliau sangat geram dan membantah cadangan doktor tersebut. Beliau memutuskan untuk terus mengandung. Muktamad. Melihatkan 'kedegilan' beliau, doktor itu terpaksa akur dan meminta beliau supaya merujuk kepada doktor lain.

Atas nasihat doktor itu, beliau merujuk doktor lain dan cadangan yang diberikan adalah sama supaya menggugurkannya. Beliau tertanya-tanya sendiri. "Teruk sangatkah kecacatan yang berlaku kepada anak aku ni Ya Allah.. sehinggakan aku perlu menggugurkannya.." rintihnya. Perasaan sedih, marah, kecewa bercampur.

Hanya Allah sahaja yang mengerti perasaannya ketika itu...

Sepulangnya ke rumah, beliau menceritakan segalanya. Ketika itulah beliau mendapat kekuatan daripada keluarga yang memberi sokongan moral dan menyuruh beliau menerima qada' dan qadar Allah. Kata mereka, cacat atau tidak, itu kerja Allah. Sekalipun anak itu cacat, terimalah dia. Semua itu adalah urusan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Beliau bertawakkal sepenuhnya kepada Allah dan memohon supaya terus diberi kekuatan untuk tabah menerima ujian daripada Allah. Selepas itu, jiwanya tenang.

Vaksin rubella yang ada di dalam salur darah si ibu akan dialirkan kepada janin dan 'berpotensi' untuk mencacatkan janin yang sedang tumbuh. Anak yang terkena rubella sebelum dilahirkan berisiko tinggi mengalami proses pertumbuhan yang lambat, terencat akal, masalah jantung dan mata, tuli, masalah pada hati, limpa dan sumsum tulang. Subhanallah..begitu dahsyat kesan rubella terhadap bayi!

Dengan tekad ingin meneruskan kehamilan, wanita itu menjaga kandungannya dengan baik. Pemakanan mestilah dari sumber yang halal dan yang terbaik, berkhasiat. Pertuturan dan tingkah laku dijaga. Pemeriksaan kesihatan diri dan kandungan sentiasa dilakukan pada setiap bulan. Surah Yusof, surah Maryam, surah Yaa Sin, surah Luqman lebih kerap dialunkan berbanding surah-surah lain. Semakin hari, semakin membesar janin, dan semakin membesarlah perut. Beliau menjalani kehidupan seperti biasa, seperti wanita hamil yang normal kandungannya.

Pada suatu hari, semasa membuat pemeriksaan kandungan pada bulan berikutnya, jururawat yang bertugas memeriksa perut beliau terkejut dan memberitahu bahawa kepala janin bayi wanita itu tidak dapat dikesan.

"Astaghfirullah..anakku.." Itu sahaja yang mampu beliau ungkapkan.

Pihak klinik merujuk masalah beliau kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan. Perut wanita itu diimbas.

"Subhanallah.. kepala bayiku ada pula! Alhamdulillah Ya Allah.."

******

DETIK YANG DINANTI-NANTI..

Sekitar jam 2000, iaitu pada waktu maghrib, perutnya mula terasa sakit yang amat. Minggu terakhir sebelum kelahiran, beliau dan suami tinggal di rumah nenek. Mungkin sudah tiba masanya untuk kelahiran zuriat pertama pasangan itu. Sakit, sakit dan sakit. Masa berlalu pantas. Bayi yang dikandung selama genap sembilan bulan belum juga keluar.

Ambulans dihubungi waktu pagi dinihari. Jam 0500 ambulans tiba. Oleh kerana jalan menuju ke rumah nenek beliau berpasir, ambulans tidak dapat masuk samapai ke rumah. Jadi, beliau terpaksa berjalan kaki menuju ke ambulans. Dengan kudrat yang ada dalam menahan kesakitan, beliau melangkahkan kaki. Jam 0600 mereka tiba di hospital. Beliau terus dimasukkan ke bilik bersalin. Doktor yang bertugas memeriksa 'jalan' bagi bayinya untuk keluar. Lambat lagi katanya. Baru 4cm! Dari maghrib semalam sakitnya.

Jam menunjukkan pukul 11.00 pagi. Di sebalah katilnya, sahabat lamanya sedang berjuang melahirkan anak secara songsang. Keadaannya amat mendebarkan beliau. Setelah bersusah-payah melahirkan, terdengarlah tangisan bayi sahabatnya itu.

"Alhamdulillah....dia dan bayinya selamat.." ucapnya dalam keadaan menunggu-nunggu kelahiran bayinya sendiri.

Sempat lagi bertanya sahabatnya itu

"Sakitkah?" Jawabnya,

"Biasalah..." sambil tersenyum.

Hebat sungguh seorang wanita!! Lalu, dia dipindahkan ke bilik lain dan tinggallah dirinya bersama-sama doktor dan jururawat-jururawat di situ. Beliau merupakan anak saudara kepada salah seorang Staff Nurse di hospital tersebut. Maka, beliau diberi layanan yang baik.

Sakitnya menjadi-jadi. Namun, bayinya masih juga belum mahu keluar. Dalam kadar 5 minit sekali sakit, beliau terus bertahan. Badannya benar-benar lemah kerana dari semalam beliau tidak memakan apa-apa. Kesakitan mengatasi rasa lapar. Seorang doktor berbangsa Cina datang menghampiri beliau dan memeriksa kedudukan bayinya. Kepala bayi dalam kandungannya masih 'tinggi' dan menyarankan supaya menggunakan 'vakum' iaitu alat untuk memudahkan bayi keluar.

Doktor datang dengan membawa alatan Vakum dan memasangnya. Dengan ditemani ibu saudaranya di sebelah, beliau mendengar arahan yang diberikan oleh doktor. Tepat jam 1300 tangisan bayi telah menamatkan kesakitan wanita itu. Bayinya selamat dilahirkan. Doktor yang menyambut bayi itu meletakkannya di atas perutnya. Seorang srikandi telah lahir pada hari itu. Dilihat dan diamati anak itu sambil berkata,

"Syukur ke hadrat Ilahi Robbi...Ya Allah..anakku sempurna... tidak seperti apa yang diramalkan oleh doktor-doktor sebelum ini..subhanallah..".

Terdengar jururawat-jururawat berbisik-bisik sambil melihat anaknya yang sedang menghisap ibu jari. Brangkali lapar.

"Anakku kelaparan setelah 18 jam membuat 'persediaan' melangkah ke alam baru.."

Beliau yang tidak makan dari semalam sangat lapar. Sayangnya makanan yang disediakan oleh pihak hospital sudah sejuk. Tiada selera. Suaminya keluar untuk membeli makanan lain untuk isterinya yang tercinta itu.

Seorang jururawat datang dengan membawa jarum suntikan untuk mengvaksin beliau. Vaksin rubella. Belum sempat disuntik, ibu saudaranya yang setia di situ menyekatnya dan memberitahu kepada semua jururawat dan doktor yang ada di situ

"Jangan injek!! Yang lahir ni adalah 'anak rubella'!"

Mereka terkejut. Terkejut kerana anak beliau cukup sifat. Begitulah kebesaran Tuhan.

Alhamdulillah.. selesai sudah sebuah kelahiran pertama pasangan Ropiah binti Abd. Razak dan Amijudin Bin Mamat.

Sumber referensi:

http://www.enformasi.com/2009/02/virus-rubella.html
Kamus Hidup Srikandi Mardhiah

Thursday, 11 October 2012

Maaf.. jika dia terlalu manja

kesian orang yang manja
kalau dia tidak dilayan
dia menangis

kesian orang yang manja
kalau dia punya masalah
dia amat mahu didengar

kesian orang yang manja
bila dia kesunyian
dia kebingungan

kesian orang yang manja
bila dia menangis
dia amat mahu dipujuk

kesian orang yang manja
bila dia berharap
dia berharap sangat

kesian orang yang manja
apabila dia bodoh
dia akan kecewa dengan diri sendiri

kesian orang yang manja
bila dia kecewa
dia sendiri harus bersusah payah untuk melawan

kesian orang yang manja
apa yang menimpa
dia susah melupakan

kesian orang yang manja
emosinya tidak menentu

kenapa dia manja?

MUNGKIN kerana terlalu cinta
MUNGKIN kerana terlalu kasih
MUNGKIN kerana terlalu sayang
MUNGKIN kerana terlalu berhati-hati
MUNGKIN kerana terlalu berfikir
MUNGKIN kerana terlalu rindu
MUNGKIN kerana terlalu berharap
MUNGKIN kerana terlalu faham
MUNGKIN kerana terlalu menghayati
MUNGKIN kerana terlalu sakit
MUNGKIN kerana terlalu mahu
MUNGKIN kerana terlalu tidak mahu
MUNGKIN kerana terlalu memendam
MUNGKIN kerana terlalu menunggu
MUNGKIN kerana dirinya terlalu memerlukan
MUNGKIN kerana dirinya terlalu banyak teruji

"akan" 

atau 

"oleh"

sesuatu.




Wednesday, 27 June 2012

Belajar


Kata : 
Mudah, murah, percuma

Kelat : 
Lidah kita merasa

Bukan mempersoal 
Melangut cuma

Aku manusia biasa
kadang lupa

Jangan buta
Pada yang ada

Rangkul aku 
Waktu hancur

Minta nyawa dan asa
Aku manusia biasa
Kadang sia


Melihat hujan sebagai rahmat
Biar basah kuyup ia bukan beban

Mencari sayang di dalam benci
merendah diri membuka hati


Melihat gelas separuh penuh
yang kosong itu mungkin kita perlu

Mencari syukur 
Dalam tiap-tiap dugaan Tuhan

Sukarnya
Namun aku belajar


credit to ~ Wani Ardy

Saturday, 9 June 2012

Segala Cinta dan Rindu adalah Milik-Mu

Petang nan indah hari ini..tidak hujan dan tidak pula panas. Warna langit bagaikan ingin mencurahkan hujan. Matahari pula seolah tidak bermaya menerangi bumi. Entah mana satu yang diinginkan oleh langit untuk mempersembahkan cuacanya. 'Hati' langit tidak ada sesiapapun yang mampu meramal tepat apakah pilihannya. Atau adakah langit juga memiliki emosi?

Sekejap waktu berlalu dirasakan lantaran keindahan yang amat terkandung di dalam setiap peristiwa suka dan duka. Lambatnya masa berlalu dirasakan pula adakah kerana ingin segera kembali kepada sesuatu yang mampu memberi kebahagiaan ataukah kerana terasa terperangkap oleh suasana yang tidak disukai? 

Samakah hati langit dan hati manusia? Zahirnya mungkin sama tetapi batinnya, sangat jauh berbeza kerana hati langit yang terpersembah adalah kerana patuhnya. Cuaca duka langit yang berbeza-beza itu adalah kerana taatnya. Tidak kenal erti lelah dan putus asa menurut perintah. Kenapa pula dengan hati manusia? Tidak taatkah? Beza hati langit dengan hati manusia adalah bukan kerana tidak taat tetapi kerana  hati manusia itu yang sangat mengenal erti lelah dan putus asa.

Sakit apabila bercinta. Bermujahadah sebelum melayari percintaan tidak sesakit mana pun. Kerana manusia itu tahu bahawa untuk bercinta sebelum tiba masanya sama seperti tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Yang dibawa pada fasa itu adalah naluri manusia yang ingin bercinta. Sama seperti manusia agung yang lain. Hanya berlegar di sekitar itu. Tidak menjadi kesalahan di dalam agama. 

Apabila telah diiktiraf untuk layak bercinta, maka naluri manusia itu semakin menampakkan kejelasan betapa indahnya bercinta. Manusia itu jatuh cinta sehingga jatuh sakit kerana terlalu cinta! Tidak seperti langit, yang tidak memiliki kehendak dan pilihan. Kehendak untuk sentiasa bersama dengan suasana yang dirasakan mampu memberi kebahagiaan. Pilihan sama ada ingin memandang apa yang ada dan apa yang sedang berlaku sebagai satu bentuk ketaatan yang membahagiakan atau sebaliknya.

Segala cinta dan rindu adalah milik Allah. Kenapa manusia itu mudah lupa diri dan asal usul dan lupa kepada pemberi perasaan cinta dan rindu itu? Dan dalam indahnya cinta dan rindu itu, Allah mendatangkan kesakitan menanggungnya. Kenapa? Hai manusia, cinta dan rindu itu adalah milik Allah yang mutlak. Dia memberi kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Sakit itu Allah jadikan sebagai satu amaran bahawa pemberi dan pemilik cinta dan rindu itu adalah Allah SWT. Kerana cinta dan rindu manusia kepada manusia yang lain perlu ada batasnya dan tidak akan menjadi setanding atau lebih tinggi (Na'uzhubillah) dari cinta manusia kepada Tuhannya. Ibarat garam dan gula yang tidak sesuai diambil dengan kuantiti yang tinggi oleh badan manusia sehingga boleh mendatangkan pelbagai penyakit. 

Untuk tenang dan bahagia, tidak perlu bercuti panjang. Itu semua menipu diri dan perasaan yang menanggung beban dan banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan kerana 'cuti' panjang. Cuma, ambillah masa sedikit untuk merenung hukum Tuhan dan hikmah takdir dengan bijaksana. Segala perancangan untuk hari mendatang, kita sandarkan kepada Allah seratus peratus.

Kerana, manusia manapun, siapapun dia, sentiasa berada dalam mujahadah. Apatah lagi manusia yang baru merangkak belajar tentang kehidupan.



Friday, 8 June 2012

Dia Lumpuh Tetapi Mampu Mendirikan

Nak Sedut Semangat Insan Ini...
- Sheikh Ahmad Yassin -

Hehe..rasa nak tergelak pun ada apabila budak kecil bermimpi untuk menjadi orang-orang besar..kikiki..
Heiii....!!! atas dasar apa kau bicara demikian?

Sekarang, kesihatanku tidak mengizinkan aku untuk bergerak laju. Hermm..tidak bergerak laju tidak bermakna tidak aktif. iya kan??

Aku didatangi suara-suara yang mengadu perihal 'mencari spirit yang hilang' di bumi yang ku jejaki sekarang. Aduh, begitu parah keadaannya. Setahun aku berada di 'luar', sekembalinya ke sini, wow...begitu dahsyat detik-detik ke......nya.... hehe teringat pula teori-teori tamadun yang pernah dikemukakan oleh pengkaji tamadun Islam dan Barat. Kitaran, rythm....aku mungkin tenang 'menerima' cerita-cerita dahsyat yang sudah terjadi di sini..kerana mungkin memahami secebis tentang ilmu jatuh bangunnya tamadun. oh, ada ilmu, jiwa tenang. Tenang pula bukan bermakna tidak perlu berbuat apa-apa. sekali lagi..iya kan?

Aku diuji dengan masalah kesihatan. Sabar dengan ujian. Sabar itu indah. Aku bahagia dengan bersabar. Sabar membuat kita lebih teliti memperhati hikmah Tuhan Yang Maha Memberi. 

Terasa segala yang ingin dilakukan menjadi terhad, terbatas.. Tidak mampu buat swing kick sudah..hehe. Tetapi, kagum sangat kan dengan insan ini (sila lihat gambar). Tenang dengan kerusi roda. Tenang dalam perasaan yang mungkin pernah dirasakannya sangat terbatas untuk melakukan sesuatu. Tetapi, hakikatnya, insan ini telah berjaya melakukan sesuatu!

Walaupun keadaan 'kurang upaya' yang berbeza..tetapi itulah hakikat keadaanku sekarang. Fizikalku agak 'kurang upaya' dan insyaAllah akan beransur berupaya. Cuma hal itu memerlukan proses. Dan terimalah, proses itu benar-benar memerlukan masa dan as-sobr.

Hanya kedahsyatan situasi yang tak begitu dahsyat yang berhadapan sekarang sebagai latihan sebelum melangkah keluar ke dunia sebenar kedahsyatan yang memang dahsyat dan untuk berdepan dengannya memerlukan sesuatu yang dahsyat juga..untuk kali ini, cuma latihan...ibarat doktor pelatih yang kena juga bertindak menginjek pesakit..ibarat lagi juruterbang yang berlatih memandu kapal terbang err..memandu ka?? di dalam cockpit olok-olok...tetap kena bertindak dengan kemahiran dan kesungguhan.

Insan ini bertindak dengan caranya yang berada di kerusi roda yang berjasa. Beliau tidak perlu berdiri bangkit untuk membangkitkan orang-orang di sekelilingnya. Tidak perlu berlari untuk mengejar kejayaan yang telah dilakarnya. Tidak memerlukan senaman yang mantap bergaya untuk menjaga stamina yang menyebabkan beliau bertahan meperjuangkan apa yang diinginkan sehingga stamina itu mampu membius generasi selepasnya di seluruh dunia. Jadi, apa yang telah dilakukan? Dan, caranya apa?

SUARA EMAS nya...

Suaranya tidak lumpuh untuk membangkitkan jiwa-jiwa pemuda Palestin.

Suaranya tidak pernah bosan mengatakan yang haq.

Suaranya adalah suara yang menghapus kelumpuhan pemikiran umat.

Suaranya adalah suara pembangkit dari kelekaan dan lena panjang.

Suaranya menjadi lebih berkuasa dari apapun anggota tubuh lainnya.

Suaranya telah menimbulkan kegerunan di hati musuh-musuh agama.

Hanya dengan suara, dia diangkat oleh umat.

Hanya dengan suara, dia itu adalah salah seorang pemimpin umat Islam.

Jadi, apa lagi alasan umat Islam kini untuk tidak terus berjuang sedaya upaya? Dari sekecil-kecil hal hinggalah kepada yang sebesarnya. Kerana Islam mengajar penuh teliti dari sekecil-kecil hal hinggalah sebesar-besarnya. 

Apa yang membelenggu adalah pemikiranmu sendiri. Adakah ingin terus lembik meratap tangis dengan kegagalan bermujahadah kononnya bermujahadah yang berkali-kali itu? [diriku hanya insan biasa...waaaa... ;'( ....-konon...] atau  tidakkah terasa ingin melihat hal itu sebagai gagalnya mencari kaedah yang benar untuk bermujahadah? Andai dirimu menjumpai caranya yang sahih, maka sucilah perjuanganmu. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan maghfirah-Nya kepada yang tidak jemu berusaha mendapatkan kaedah yang sahih itu.

Renungan..
Berapa ramai yang dianugerahkan dengan 'cukup upaya' tak lupa juga yang 'lebih upaya' namun tidak mampu membangkit manusia ini dari tidur dan tidak mampu menganjak paradigma umat ini. 

Monday, 28 May 2012

Berbaloikah Jika Cuma Itu


Entri ini sebenarnya sudah lama tersimpan. Buka laptop, tiba-tiba kedatangan idea untuk menghabiskannya. 

Ramai yang ingin ada anak. Dan alhamdulillah, Allah mengurniakan hamba-hambaNya ini zuriat keturunan. Namun, ramai juga manusia yang LUPA perihal mendidik anak yang semakin hari semakin membesar.

Saya sedar sebenarnya tak layak untuk berbicara hal ini kerana saya belum diizinkan Allah untuk melalui fasa perjuangan mendidik generasi zuriat sendiri, hanya merasai fasa " persediaan " sahaja dan tanpa saya minta dan tanpa kami duga, Allah meletakkan anak pertama kami di tempat yang kami entah mampu atau tidak mendidik arwah (jika Allah mengizinkannya menikmati dunia) sehingga membawanya ke “sana” dengan selamat. Ya, tempat yang dijanjikan. Ameen. Semoga tenangmu diwarisi pula ummi dan abi. Orang kata, “belum setahun jagung”… Namun, inilah pengamatan saya ketika ini. Boleh juga dikatakan sebagai pengamatan muda oleh saya.

Saya memang seorang yang suka mengamati sosial dan persekitaran.  Sebab itu (mungkin) saya seorang yang sensitif. Dan yang penting saya cuba belajar sesuatu daripada pengamatan saya. Jadi, saya tidak harus ada sikap terlalu yakin, bias, memulakan pengamatan dengan sangkaan yang tidak sepatutnya dan saya harus sentiasa dalam keadaan neutral. Bukan talam dua muka, tetapi menerima dalam keadaan membuat penilaian yang lebih dalam. Anda mengerti?

Berbalik kepada topik utama. Semua orang tahu anak itu satu anugerah. Ada orang yang merasakan hidupnya sudah sempurna dengan memiliki anak-anak dan mampu memenuhi keperluan asas mereka. Cukup dan suatu pencapaian tertinggi dalam kehidupan. Sangat berpuas hati. Ada isteri/suami, ada anak…sempurna sudah! Dengan kata lain, cukup syarat berkeluarga.

Dan hari ini, teori-teori pengamatan majoritinya benar. Saya tak mengatakan keseluruhan sebab rencana Allah mengatasi pengamatan lemah manusia. Yang minoriti itu pastinya sebagai suatu bentuk tarbiyah Allah kepada kita bahawa Allah lah yang lebih berhak ke atas setiap makhluk-Nya. Supaya kita akhirnya kembali kepada Sang Pencipta segala sesuatu. Ya, lantaran akal kita yang terbatas.

Siapa yang  tak sayang anak? Sudah tentu lingkungan topik ini, persoalannya dituju kepada mereka yang tidak bertindak di luar tabi’i. Tidak semestinya pula bertegas dengan anak itu, dengan memukul anak tanda kita telah menunjuk ajar. Benarkah tindakan kita, padankah hukuman dengan kesalahan, adakah benar  tunjuk ajar kita itu? Mengikut panduan Allah kah? Atau sayangkan anak tanpa dirotan sedikitpun jikalau usia sepuluh tahun masih malas menunaikan solat? Adakah kerana mengikut panduan pula, tidak diberi amaran dulu sebelum bertindak merotan  di atas kesalahan kali keduanya?

Cakap senang. Menulis pun senang.  Sayang anak bukanlah diukur dengan betapa banyak wang dihabiskan untuk membeli makanan, pakaian, dan pelbagai macam keperluan yang ASAS bagi mereka. Sebab, jika diperhatikan, semua orang MAMPU melaksanakannya walaupun kita bukan kalangan yang bekerja ‘makan gaji’. Kerana kita ada kudrat untuk mencari nafkah. Asal cukup makan, pakai, boleh tidur dan sekolah, itu mencukupi. Dan kerana fitrah manusia yang tak sanggup biarkan anak tak cukup makan, sakit dan sebagainya.

Namun, nak jadikan anak itu sebagai seseorang yang benar-benar kita kasihi bukan semudah ucapan sayang dan menyediakan kepeluan asas. Bukan lafaz "sayang" di bibir yang diiringi misi dan visi yang kosong, segalanya perlu diperhalusi kerana kelak Allah akan bertanya kita, pihak yang diamanahkan ini.  Nikmat bukan sahaja tatkala kita melahirkan zuriat dari benih sendiri yang halal lagi berkat (insyaAllah, Syukur yang amat..) Namun, terkadang terlupa pula menterjemahkan rasa SYUKUR itu. Dapat anak, syukur…dan berazam nak didik anak-anak betul-betul dan sungguh-sungguh..barulah beterusan rasa syukur kita dan selain itu, kita tak akan mudah rasa lelah dan putus asa dalam perjuangan mendidik generasi yang bakal menyambung perjuangan Rasulullah SAW ini. Begitu bersusah payah kita melahirkannya, hanya keperluan asas itu yang kita sediakan untuk anak-anak?  Berbaloi kah kesakitan yang kita rasa jika usaha mendidik mereka hanya setakat itu?

Maaf..mungkin seperti saya sangat enak menulis. Ya, cakap senang, menulis juga senang. Tatkala ini, saya menulis sambil saya cuba meninjau keadaan pada masa akan datang dan bermuhasabah sebelum saya MULA dan sebelum saya TERLAMBAT (Ya, dengan izin Allah). Anda faham? Sebelum saya ke garisan perMULAan mendidik mereka dan juga sebelum saya TERLAMBAT menyedari hakikat ini. Yang perlu difikirkan oleh setiap orang yang bergelar suami dan isteri.

Misi dan Visi bapa kepada Imam Asy-Syafi’ie dalam mendidik beliau sehingga menjadi seorang Asy-Syafi’ie yang kita kenali sebagai orang yang hebat pada hari ini adalah bemula ketika bapanya memilih seorang ibu untuk beliau lagi. Seawal itu. Dan dari pihak ibunya pula dengan kata lain, mendidik anaknya bermula sejak beliau masih lagi seorang dara. Seawal itu. Anda mengerti?

Maknanya, pemilihan pasangan. Manusia tak sempurna, memang. Tetapi, jika kita berusaha meningkatkan diri kita menuju iman, taqwa dan redha-Nya, adakah pemilihan pasangan kita nanti dipilih dari kalangan yang tidak mempunyai cita-cita yang sama dengan kita? Kerana itu, perlu jauhnya kita berfikir bahawa, kita bakal melahirkan generasi yang pada tangan kitalah bagaimana kehidupan mereka dicorakkan. Jodoh itu ketentuan Allah. Ya, ada di kalangan masyarakat kita, seorang yang soleh menikahi wanita yang biasa-biasa, kurang penghayatan tentang agama…rahsia Allah yang mahu memberikan hidayah itu kepada wanita itu sampai menjadi wanita yang solehah siapa yang tahu? Kenapa pula ayat-ayat perangsang Allah tentang “Wanita yang baik untuk lelaki yang baik” diturunkan jikalau tidak lain tidak bukan untuk menyeru manusia lelaki dan perempuan untuk berusaha menjadi orang yang soleh/solehah. Hal takdir jodoh dengan siapa, rencana Allah Yang Maha Kuasa. Kita perlu berdoa dan berusaha k e r a s. Dan semoga Allah mentakdirkan sesuatu yang terbaik di atas usaha yang sungguh-sungguh dari kita.

Itulah yang Nabi Muhammad  SAW ajarkan kepada umat manusia supaya bertindak ‘memilih’ dahulu seseorang yang akan dijadikan isteri atau suami. Kerana, mendidik anak-anak ini diibaratkan seperti menanam tanaman yang memerlukan tanah yang subur yang tidak dipenuhi dengan lalang-lalang yang akan membantutkan pertumbuhan biji benih yang kita semai itu selain daripada baja dan keperluan asas lain yang mencukupi. 

Menyambut kelahiran si anak ini sungguh teruja dan satu perkara yang paling menggembirakan dan yang paling dinanti-nantikan buat pasangan suami isteri. Segala bekalan untuk menyambutnya disediakan dengan gembiranya. Alangkah lebih beruntung dan berbaloi sekiranya segala kesakitan, susah payah yang dirasa daripada saat kelahiran sehingga dia berjaya membesar menjadi seseorang yang  jiwanya adalah jiwa Pemuda-pemuda Kahfi, jiwa Pejuang-pejuang Badar, jiwa Penakluk Muda Al-Fateh, jiwa sang pencinta ilmu, jiwa-jiwa mujaddid, jiwa-jiwa murobbi, jiwa-jiwa pemberani dalam menegakkan yang haq . . . .

Seorang ibu yang besar cita-citanya, yang berani bermimpi besar bak kata Laskar Pelangi tidak cukup dengan hanya mengerti teori-teorinya..Harus ada pergerakkannya. Dan pemula kepada semua itu adalah daripada bakal ayah dan bakal ibu. Bermimpi besar biar juga berani bekerja keras dan berusaha besar dan luar biasa supaya hasilnya juga besar luar biasa!

#Masih belum terlambat untuk saya berusaha untuk menjadi pencetus dan pemula kepada lahirnnya jiwa-jiwa besar ini#













Wednesday, 23 May 2012

She's A Microbiologist Now & What About Me??



Aku sempat menjenguk laman mukabuku kepunyaan seorang sahabat yang banyak berjasa kepadaku, yang mengenalkanku erti tarbiyah. Seorang ahli mikrobiologi. A microbiologist. A microbologist!!! ;-(

Dia sebilik denganku sewaktu belajar di sebuah institusi pengajian tinggi. Aku cemburu melihat kesungguhan dia menuntut ilmu. Kini, aku merenung kembali apa yang pernah aku lihat, rasa dan fikirkan tentang kisah kehidupan yang telah berlaku. Melihat kesungguhannya melayakkan dirinya untuk berada pada tahap sekarang ini. A microbiologist.

Sewaktu aku di tingkatan empat, aku bermimpi aku adalah seorang ahli bioteknologi. Aku juga pernah bermimpi ingin menyelamatkan alam dengan teknologi yang berasaskan tumbuhan, ingin mencari sesuatu yang boleh meningkatkan hasil tanaman di negara ini dengan penemuan-penemuan terbaru dan kajian dan aku begitu 'gila'kan makhluk yang bernama 'asid deoksiribonukleik', DNA. Itulah simbol kehidupan.

Aku masih ingat sewaktu aku berada di tingkatan lima. Aku sangat suka akan mata pelajaran Kimia. Sangat seronok bermain dengan unsur-unsur yang ada di alam ini! Pada suatu hari, hari yang lebih membuatkan aku bersemangat untuk terus belajar dalam bidang sains ini. "Siapa tahu nama penuh DCPIP?" Aku tersentak di tempat dudukku. Tak sangka cikgu Zubaidah bertanya nama larutan itu. Semua kelas terdiam..aku begitu geram ingin menjawab..aku sudah hafal nama penuh ini semalam. Tiba-tiba mengangkat tangan dan menjawab... "dichlorophenolindophenol cikgu..." Lalu, cikgu memujiku dan kata-katanya yang aku pegang ..sampai sekarang walaupun.. cikgu kata "wah, boleh jadi ahli biokimia ni!" Mungkin pada kawan-kawan yang lain hal itu tidak ada apa-apa namun untukku, itu satu doa dan pendorong untuk aku teruskan usahaku untuk bergelar seorang saintis. 

Memang terasa bagaikan tidak sempat untukku menelaah sebegitu banyak perkara .. walaupun hanya mengambil 9 mata pelajaran. Aku bukan seorang yang bijak pandai. Aku bukanlah seorang pelajar yang berada di kelas elit. Aku pelajar yang biasa-biasa sahaja otaknya. Kegilaanku pada masa itu ialah pada mata pelajaran kimia, kimia dan kimia. 

Keputusan SPMku tidak lah cantik dengan huruf A nya berderet sampai ke bawah. Tetapi cukup untuk aku menempah 'tiket' untuk menyambung pengajianku dalam bidang yang aku suka. Di ipt tersebut, aku mengenali dia yang memperoleh mata pelajaran biologi, kimia dan fiziknya. Keputusan peperiksaan kami pun lebih kurang juga. Tapi, mata pelajaran yang diambil lebih banyak daripadaku. Aduhai.

Al kisahnya apabila aku mula menjejakkan kaki di situ. Aku mula dilanda satu 'belenggu'. Aku jadi susah belajar tidak seperti aku belajar pada zaman SPMku. Segalanya ku rasa payah dan tidak serius dengan apa yang mendepaniku. Aku seolah-olah telah kehilangan diriku yang dulu. Jeritan batinku, "I can't study there!!" , "I can't focus on what I've learnt!" Dan di situ, aku sangat suka hadiri kuliah biologi. Namun setakat seronok di dalam kuliah. Banyak mengkagumi kejadian setiap makhluk tanpa mengenali terperinci tentangnya. My 'management' about myself was FAIL!

Dia terus dengan usaha gigihnya. Aku seolah-olah kehabisan tenaga untuk menelaah. Dia kenal perangaiku dan mungkin ada terbit di hatinya kebimbangan terhadapku. Dia agak sibuk dengan urusan luar juga namun tetap berprestasi. Aku ini yang tidak ada apa-apa tanggungjawab yang lain tidak mampu bersaing dengannya. Aku beraksi seperti bukan diriku yang dulu. Hanya tekanan yang melanda. Dalam keadaan letih dan mengantuk, dia masih bertahan dan terus melekat di meja belajarnya. Aku seolah-olah hanya melihat sahaja kesungguhan tanpa sedikitpun terdetik untuk contohi kesungguhannya. 

Jujurnya, semalam aku sungguh emosi. Huhu...sudah lama aku tidak merasa emosi seperti hari ini. Perkara yang ditakuti pada beberapa minggu yang lalu tidaklah sampai membuat aku emosi dengan begitu dalam sekali. Mungkin kerana aku telah membuka kembali 'luka lama'. Bukanlah untuk disesalkan. Kesalahan tetap kesalahan yang pernah aku buat sewaktu belajar di situ. Dan daripada tersilap langkahku, aku sudah menerima natijahnya. Jiwa aku jiwa BIO. Tempat impianku adalah di makmal dan mikroskop itu menjadi temanku. Kot makmal putih itu 'uniformku'. Tapi hanya semangat tidak mampu untuk menghasilkan kejayaan dan tidak menjamin terealisasinya sebuah impian.

Aku tumpang bangga melihatnya sekarang. Dia juga bukanlah dari keluarga yang kaya sama seperti aku. Tetapi sekarang dia sudah bergelar ahli mikrobiologi yang bekerja di kilang ubat tanah air. Padanya aku nampak bahawa ibu ayahnya sedang berbangga dengannya. Sekarang, dia pula yang menanggung ibu ayah serta adik-adiknya. Maafkan kak long mak, ayah dan adik-adik.. atas kelalaian kak long..

'Luka lama' yang terbertas jahitannya ini bukanlah untuk menimbulkan kekesalan untukku. Tetapi kehidupanku, kronologinya adalah bukan seperti dia dan juga sahabat-sahabatku yang berjaya menjadi entah apa lagi..dalam bidang ini. 

Ku akan kenang balik kesungguhanmu. Kesungguhanmu sangat ku kagum. Kesungguhan seorang yang ingin menuntut ilmu. Engkau kekal dengan penampilan muslimahmu..SMKA Pedas malah lebih berjaya sekarang. Aku pula yang bertukar aliran daripada Sains Hayat kepada Bahasa Arab..dan aku bahagia dengan penemuan yang sekarang! ;-)