Petang nan indah hari ini..tidak hujan dan tidak pula panas. Warna langit bagaikan ingin mencurahkan hujan. Matahari pula seolah tidak bermaya menerangi bumi. Entah mana satu yang diinginkan oleh langit untuk mempersembahkan cuacanya. 'Hati' langit tidak ada sesiapapun yang mampu meramal tepat apakah pilihannya. Atau adakah langit juga memiliki emosi?
Sekejap waktu berlalu dirasakan lantaran keindahan yang amat terkandung di dalam setiap peristiwa suka dan duka. Lambatnya masa berlalu dirasakan pula adakah kerana ingin segera kembali kepada sesuatu yang mampu memberi kebahagiaan ataukah kerana terasa terperangkap oleh suasana yang tidak disukai?
Samakah hati langit dan hati manusia? Zahirnya mungkin sama tetapi batinnya, sangat jauh berbeza kerana hati langit yang terpersembah adalah kerana patuhnya. Cuaca duka langit yang berbeza-beza itu adalah kerana taatnya. Tidak kenal erti lelah dan putus asa menurut perintah. Kenapa pula dengan hati manusia? Tidak taatkah? Beza hati langit dengan hati manusia adalah bukan kerana tidak taat tetapi kerana hati manusia itu yang sangat mengenal erti lelah dan putus asa.
Sakit apabila bercinta. Bermujahadah sebelum melayari percintaan tidak sesakit mana pun. Kerana manusia itu tahu bahawa untuk bercinta sebelum tiba masanya sama seperti tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Yang dibawa pada fasa itu adalah naluri manusia yang ingin bercinta. Sama seperti manusia agung yang lain. Hanya berlegar di sekitar itu. Tidak menjadi kesalahan di dalam agama.
Apabila telah diiktiraf untuk layak bercinta, maka naluri manusia itu semakin menampakkan kejelasan betapa indahnya bercinta. Manusia itu jatuh cinta sehingga jatuh sakit kerana terlalu cinta! Tidak seperti langit, yang tidak memiliki kehendak dan pilihan. Kehendak untuk sentiasa bersama dengan suasana yang dirasakan mampu memberi kebahagiaan. Pilihan sama ada ingin memandang apa yang ada dan apa yang sedang berlaku sebagai satu bentuk ketaatan yang membahagiakan atau sebaliknya.
Segala cinta dan rindu adalah milik Allah. Kenapa manusia itu mudah lupa diri dan asal usul dan lupa kepada pemberi perasaan cinta dan rindu itu? Dan dalam indahnya cinta dan rindu itu, Allah mendatangkan kesakitan menanggungnya. Kenapa? Hai manusia, cinta dan rindu itu adalah milik Allah yang mutlak. Dia memberi kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Sakit itu Allah jadikan sebagai satu amaran bahawa pemberi dan pemilik cinta dan rindu itu adalah Allah SWT. Kerana cinta dan rindu manusia kepada manusia yang lain perlu ada batasnya dan tidak akan menjadi setanding atau lebih tinggi (Na'uzhubillah) dari cinta manusia kepada Tuhannya. Ibarat garam dan gula yang tidak sesuai diambil dengan kuantiti yang tinggi oleh badan manusia sehingga boleh mendatangkan pelbagai penyakit.
Untuk tenang dan bahagia, tidak perlu bercuti panjang. Itu semua menipu diri dan perasaan yang menanggung beban dan banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan kerana 'cuti' panjang. Cuma, ambillah masa sedikit untuk merenung hukum Tuhan dan hikmah takdir dengan bijaksana. Segala perancangan untuk hari mendatang, kita sandarkan kepada Allah seratus peratus.
Kerana, manusia manapun, siapapun dia, sentiasa berada dalam mujahadah. Apatah lagi manusia yang baru merangkak belajar tentang kehidupan.
No comments:
Post a Comment